'Kaedah menyelam terlampau berisiko'

‘Kaedah menyelam terlampau berisiko’

NOR Hisham Mohammad memakaikan Tanda Pangkat KB 44 kepada Mohamad Hafiezul Abdul Halim pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Ogos 2024 JBPM di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) merumuskan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Masjid India dengan menggunakan kaedah selaman adalah terlampau berisiko.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, rumusan itu adalah berdasarkan maklum balas daripada dua penyelam skuba yang melakukan aktiviti selaman kira-kira pukul 4 pagi tadi.

“Dan selepas kita berbincang secara taktikalnya dan berdasarkan maklum balas daripada dua orang yang masuk dalam tadi (menyelam), saya dapat rumuskan ia terlampau berisiko untuk kita cuba meneruskan usaha secara penyelaman dan juga secara fizikal untuk mengesan mangsa.

“Seterusnya, kita juga hantar dua unit kamera dalam air (underwater camera), walaupun kita dapat imej-imej kain tetapi buat masa ini kita tak boleh katakan bahawa itu adalah kepunyaan sesiapa sebab dalam itu memang macam-macam (sisa), tapi ada imej kain yang dua-dua kamera itu dapat ‘capture’.

“Itu (antara imej) yang kita dapat tetapi suka saya maklumkan secara nyatanya berdasarkan (rakaman) kamera itu, tidak ada yang menunjukkan imej ‘body’ (mangsa) sebab arus air bergerak begitu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Ogos Tahun 2024 di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan, operasi SAR yang memasuki hari kelapan hari ini difahamkan masih memfokuskan kepada usaha untuk merungkai ‘backlog’ membabitkan timbunan sepanjang 15 meter di lurang kumbahan di Wisma Yakin, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian yang dikesan semalam.

Ini susulan selaman pada pukul 4 pagi tadi oleh dua penyelam skuba dari Akademi JBPM Wilayah Utara sekali lagi tidak berhasil selepas hampir setengah jam selaman.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, antara faktor risiko yang dikenal pasti termasuk lah aliran air bawah tanah yang deras, ruang yang sempit untuk menyelam, sisa-sisa sampah serta ‘backlog’ keras yang menjadi penghalang di kawasan carian.

“Sebelum ini kita guna dua unit pam, semalam kita tambah satu unit (lagi), satu bomba punya dan dua lagi pam dari IWK (Indah Water Consortium). Dan pada pukul 4 pagi (air) berada di paras yang selamat untuk hantar penyelam, jadi kita telah hantar seorang penyelam dan seorang lagi pekerja kumbahan yang biasa dengan reka bentuk saluran itu.

“Jadi kita masuk kira-kira 20 minit (dan) 18 meter ke dalam dan kita dapati apabila sampai di situ (kawasan pencarian), tiada ruang untuk orang nak masuk, jadi tak boleh nak pergi (teruskan) dan ruang itu sangat sempit, penyelam pun terpaksa meniarap untuk masuk.

“Dalam masa sama, berlaku peningkatan air jadi kita telah bersetuju untuk ‘withdraw’ pasukan skuba kerana terlampau berisiko tinggi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan itu, satu mesyuarat bersama pihak pasukan SAR terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Mineral dan Geosains serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa akan diadakan pada petang ini.

Jelasnya, mesyuarat itu antaranya bertujuan untuk menentukan hala tuju operasi yang seterusnya termasuk kaedah-kaedah lain yang boleh digunakan untuk pencarian mangsa.

“Petang ini ada perbincangan, sebab semalam petang Menteri Wilayah Persekutuan mohon supaya beri kita ‘extend’ satu hari dan akan adakan mesyuarat paling awal petang ini untuk diputuskan apa seterusnya kepada operasi ini.

“(Mesyuarat) termasuk juga jalan mana yang akan ditutup secara berterusan dan apa akan selepas ini dibuat, itu antara perkara-perkara yang akan diputuskan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nor Hisham turut mengakui bahawa kaedah selaman yang digunakan dalam operasi pencarian mangsa memerlukan keberanian yang tinggi berikutan penyelam berdepan pelbagai risiko.

“Lebih kurang dalam 18 meter mereka mengharung air dengan ruang yang kecil, saya katakan memang memerlukan keberanian yang tinggi.

“Pagi tadi apabila kita hantar pasukan penyelam kira-kira pukul 4 pagi saya pun (seperti) hilang kata-kata dan berdebar sebab kita tengok tempat mereka masuk itu lebih kurang dalam dua kaki dan perlu meniarap dan merangkak.

“Kita cukup risau (jika) mereka tersekat, (kerana) ada ‘piston effect’ daripada air membuatkan mereka tak boleh mengundur, kita juga sentiasa berhubung dengan penyelam di bawah menggunakan telekomunikasi bawah air,

“Terlampau berisiko pada (jarak) 18 meter, (kerana) ada bongkah seperti batu yang tak boleh lalu, (penyelam) cuba terajang pun tak bergerak. Kalau (penyelam) pergi juga, dia mungkin boleh pergi sebab ditolak arus tetapi nak (patah) balik dari lubang itu kemungkinan kalah dengan water piston effect, jadi sangat bahaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN