Kabinet arah kesan kawasan risiko tanah jerlus seluruh negara - Utusan Malaysia

Kabinet arah kesan kawasan risiko tanah jerlus seluruh negara

Tanah jerlus
ALEXANDER Nanda Linggi ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Seksyen 1 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Banting di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kabinet mengarahkan kawasan-kawasan tanah jerlus di seluruh negara dikenal pasti menggunakan kaedah sains dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan tersebut dilakukan seperti mana lebih 2,000 kawasan cerun dikenal pasti untuk mengelakkan berlaku kejadian tanah runtuh.

“Dibincangkan dalam kabinet baru-baru ini supaya melangkah ke depan kerajaan akan lebih fokus bagaimana hendak mengatasi atau mengelakkan kejadian itu dengan menggunakan sains dan teknologi, AI dan sebagainya.

“Kita belum kenal pasti kawasan-kawasan risiko berlaku lubang benam, tetapi kita merentasi kementerian yang terlibat dalam pembangunan dalam kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang turut melibatkan agensi-agensi lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Seksyen 1 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), hari ini.

Operasi Carilamat yang masuk hari kelapan bagi mencari mangsa wanita warga India, iaitu G. Vijaya Lakshmi, 48, diteruskan membabitkan pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), DBKL dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd.

Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India dikenali sebagai G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Dalam pada itu Alexander memberitahu, kementeriannya turut memberi bantuan bagi mengesan kedudukan mangsa termasuk menggerakkan aset-aset milik Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Setakat ini, kerja-kerja menyelamat masih dijalankan dan saya difahamkan isu tersebut diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaliha Mustafa, beliau sudah memberitahu kerja-kerja mencari mangsa masih dijalankan.

“Jadi, kami di KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membantu dari segi sumbangan teknikal, gerakan aset yang di tahap knowledge based, sebab JKR memang kejuruteraan dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN