Kabinet arah kenal pasti kawasan risiko tanah jerlus

Kabinet arah guna AI kenal pasti kawasan risiko tanah jerlus

ALEXANDER Nanda Linggi dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Pembukaan Seksyen 1 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Banting di Kuala Langat, Selangor, semalam. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kabinet mengarahkan kawasan-kawasan tanah jerlus di seluruh negara dikenal pasti menggunakan kaedah sains dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan tersebut dilakukan selepas lebih 2,000 kawasan cerun dikenal pasti berisiko sebelum ini bagi mengelakkan berlaku kejadian tanah runtuh.

“Seperti dibincangkan dalam kabinet baru-baru ini, kerajaan akan lebih fokus bagaimana hendak mengatasi atau mengelakkan kejadian itu dengan menggunakan sains dan teknologi seperti AI dan sebagainya.

“Kita belum kenal pasti kawasan-kawasan risiko berlaku lubang benam, tetapi kita merentasi kementerian yang terlibat dalam pembangunan dalam kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang turut melibatkan agensi-agensi lain,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Pembukaan Seksyen 1 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), semalam.

Operasi Carilamat yang masuk hari kelapan bagi mencari mangsa wanita warga India, iaitu G. Vijaya Lakshmi, 48, diteruskan membabitkan pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), DBKL dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd.

Pada 23 Ogos, wanita itu hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Dalam pada itu Alexander memberitahu, kementeriannya turut memberi bantuan bagi mengesan kedudukan mangsa termasuk menggerakkan aset-aset milik Kementerian Kerja Raya (KKR).

Setakat ini, kerja-kerja menyelamat masih dijalankan dan saya difahamkan isu tersebut diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaliha Mustafa, beliau sudah memberitahu kerja-kerja mencari mangsa masih dijalankan.

“Jadi, kami di KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membantu dari segi sumbangan teknikal, gerakan aset yang di tahap knowledge based, sebab JKR memang kejuruteraan dan sebagainya,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN