Juruterbang bomba wajib buat 12 jam penerbangan sebulan

Juruterbang bomba wajib buat 12 jam penerbangan sebulan

NOR Hisham Mohammad dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Ogos 2024 di Ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mewajibkan setiap juruterbang mereka melaksanakan sekurang-kurangnya 12 jam penerbangan sebulan, berbanding lima jam sebelum ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, arahan pematuhan jam penerbangan bulanan itu bertujuan memastikan aspek upaya dan siaga setiap juruterbang sentiasa pada tahap tinggi sekali gus mencapai objektif peningkatan nilai dari sudut kecekapan dan keselamatan dalam penerbangan.

Menurutnya, arahan berkuat kuasa sejak 11 Jun lalu itu mencerminkan usaha berterusan JBPM dalam memastikan tidak berlaku sebarang insiden sekali gus mengelak kemalangan yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan pesawat.

“Lanjutan daripada penemuan laporan insiden (helikopter) AW189, kita dapati terdapat keperluan untuk meningkatkan jumlah jam penerbangan kepada juruterbang. 

“Kita syaratkan sebelum ini paling tidak mereka (perlu) terbang lima jam sebulan, tetapi kita merasakan dan berpandangan bahawa ia perlu dipertingkat kepada 12 jam sebulan untuk jam penerbangan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Ogos Tahun 2024 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, JBPM juga menyusun semula peruntukan kewangan bagi membolehkan jumlah jam penerbangan itu dapat dicapai dalam kalangan juruterbang.

Selain itu, katanya, proses tersebut turut melibatkan penilai dalaman ke atas setiap juruterbang bagi membolehkan mereka menambah jenis-jenis pesawat yang diterbangkan.

“Berdasarkan cerapan data yang kita buat dari Jun hingga kini, kita dapati jumlah (jam penerbangan) itu telah dapat kita penuhi dan kita juga nampak mood yang begitu positif dalam kalangan juruterbang walaupun dengan pertimbangan kos yang diambil kira apabila menambah jam penerbangan tetapi dalam konteks penerbangan kecemasan, keselamatan adalah menjadi keutamaan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham berkata, kerajaan secara dasarnya bersetuju untuk perolehan dua unit pesawat AW139 bagi kegunaan JBPM melalui inisiatif Perolehan Helikopter Untuk Kegunaan Kementerian atau Agensi Kerajaan Secara Penswastaan Melalui Kaedah Pajakan Aset.

Jelas beliau, dua pesawat AW139 itu bakal dilengkapi dengan peralatan sokongan bagi perkhidmatan kesihatan seperti sebuah flying hospital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN