KUALA LUMPUR : Pelakon, Amar Baharin, 39, memohon maaf sekiranya ada kalangan penonton dan peminat yang tidak senang hati dengan babak bersentuhan dengan pelakon, Siti Elizad.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Amar berkata, dia hanya menjalankan tugasnya sebagai pelakon dan babak itu dilakukan bagi menjayakan sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan di kaca televisyen tidak lama lagi.
“Saya tak boleh nak komen banyak isu ini. Tapi iya, saya tahu, terang-terangan ia adalah bend yang salah. Saya sebagai pelakon dalam drama tersebut menghormati Elizad kerana dia pun seorang aktres yang bagus.
“Kalau penonton nampak babak itu salah dan menganggu fikiran mereka, saya minta maaf dan akui kesilapan saya.
“Kami sebagai pelakon pun hanya buat kerja sahaja. Saya cubalah istiqamah untuk betulkan dan perbaiki kesilapan diri selepas ini,”katanya.
Amar berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan itu melakonkan babak bersentuhan dengan Elizad untuk sebuah drama.
Siti Elizad terlebih dahulu menerima teguran netizen dan dikecam gara-gara babak sentuhan dengan aktor Amar Baharin ketika menjalani penggambaran sebuah drama bersiri.
Tindakan tersebut telah mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen memandangkan kedua-dua pelakon ini telah berkahwin.
Dalam pada itu, kata Amar, isu ini tidak menjejaskan hubungannya dengan isteri, Amyra Rosli memandangkan masing-masing juga berada dalam industri seni yang sama.
“Kami pun sama-sama pelakon, jadi dia faham dan tak ada masalah mengenai perkara ini kerana ia bukannya keterlaluan. Susah juga nak jawab semua komen kerana isu ini daripada dahulu sudah wujud.
“Akan ada sahaja pertanyaan yang sama melainkan jika saya berhenti berlakon. Ada netizen yang faham tak mengapa, tetapi ada juga yang tak faham.
“Saya hargai semua teguran netizen. Tetapi semua itu sekadar lakonan dan tuntutan kerja. Apa pun saya mohon maaf sekali lagu dan akan cuba perbaiki kelemahan,”katanya.-UTUSAN