Jenazah Rozaid selamat dikebumi

Jenazah Rozaid selamat dikebumi

AHLI keluarga arwah Rozaid Abdul Rahman ketika hadir memberikan penghormatan terakhir di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, Putrajaya. - UTUSAN/ILHAM SYIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jenazah Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Rozaid Abdul Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, kira-kira 10.50 pagi tadi.

Lebih 200 orang hadir memberi penghormatan terakhir termasuk ahli keluarga arwah dan warga Pejabat Pejabat Menteri (PMO).

Turut kelihatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohd Fauzi Md Isa dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Jenazah Allahyarham terlebih dahulu dimandi dan disolatkan di Masjid Putra Heights, Subang Jaya, Selangor kira-kira pukul 8.30 pagi tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rozaid menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya petang semalam akibat masalah jantung.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO dalam kenyataan semalam memaklumkan allahyarham yang berusia 59 tahun sebelum ini telah menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sejak 1 Julai lalu dan telah dibenarkan keluar hospital pada 6 Ogos lalu.

Allahyarham dilantik menjawat tugas sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO pada 23 Mei 2023.

Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama lebih 40 tahun dan memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.

Wartawan veteran itu juga pernah menyandang jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media
The Star, selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.

Allahyarham kemudian berkhidmat di Sinar Harian pada 4 Januari 2021 sebagai Ketua Pengarang Kumpulan sebelum mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan pada 30 Disember 2022.

Pada Disember 1989, beliau mencatat sejarah sebagai wartawan Malaysia yang pertama memasuki terowong yang dibina oleh anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sempadan Malaysia-Thailand sejurus selepas termeterainya perjanjian damai di antara PKM dan kerajaan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN