Jenamakan pokok dengan nama anak seni - Zainal Abidin - Utusan Malaysia

Jenamakan pokok dengan nama anak seni – Zainal Abidin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Zainal Abidin, mencadangkan agar nama anak seni yang sudah meninggal dunia diabadikan sebagai nama jalan atau pokok bagi memperingati sumbangan kesenian mereka.

Zainal, 65, berkata, walaupun usaha itu bukanlah suatu kemestian, tapi ia boleh dilakukan seperti Hollywood Walk Of Fame di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Bagi saya usaha itu tidak semestinya dilakukan, tapi harus bagi memperingati mereka yang telah pergi seperti Allahyarham Jay Jay, Tan Sri P. Ramlee, Sudirman dan Datuk Sharifah Aini.

“Mereka layak mendapatkan itu melihat kepada usaha mereka untuk menaikkan industri hiburan,” katanya.

Zainal ditemui Utusan Malaysia di sidang media, Hausboom Music Festival 2024, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, penyanyi lagu Hijau itu yakin inisiatif tersebut dapat mendekatkan masyarakat dengan hutan yang menjadi khazanah negara.

“Di luar negara mereka buat nama dengan simbol bintang, di Malaysia kita ada banyak pokok dan hutan. Kita boleh namakan pokok itu sempena nama artis kita.

“Contohnya di suatu taman rimba ada pokok Balau. Kita boleh namakan dengan pokok Sudirman.

“Selain mengiktiraf artis, secara tidak langsung mendekatkan kita dengan alam sekitar dan melambangkan Malaysia negara yang kaya dengan hutan.

“Biar orang-orang muda hari ini mengenali siapa mereka,” katanya.

Terdahulu, penulis lirik, Slen Fadzil mencadangkan sebatang jalan raya dengan nama khas biduanita Datuk Sharifah Aini wajar diwujudkan.

Slen berkata, cada­ngan berkenaan disifatkan wajar sebagaimana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sharifah Aini juga dianggap sebagai tokoh seni yang dihormati sehingga ke hari ini.

Untuk rekod, Sharifah Aini meninggal pada 2014 akibat fibrosis paru-paru di Pusat Perubatan Pakar Damansara. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya