Jay Jay pemuzik berdedikasi - Ito Blues Gang - Utusan Malaysia

Jay Jay pemuzik berdedikasi – Ito Blues Gang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Vokalis kumpulan Blues Gang, Ito Mohd, 73, menyifatkan Allahyarham Jay Jay sebagai pemuzik yang berdedikasi semasa hayatnya.

Meskipun tidak pernah mengenali Allahyarham secara dekat, namun kata Ito, dia dapat melihat kesungguhan Jay Jay setiap kali menghasilkan muzik dan mengadakan persembahan.

“Kami pernah sama-sama berkongsi pentas semasa konsert Boney M di Istana Budaya (IB) sekitar tahun 2006. Dia seorang yang baik dan tidak sombong sebagaimana yang orang selalu perkatakan.

“Dia juga mahir bermain alat muzik seperti gitar dan bass. Kita tahu lagu paling popular Carefree iaitu Rindu Bayangan menjadi hits pada era 80-an. Lagu itu memang digilai ramai

“Walaupun kami tak kenal terlalu rapat dan hanya jumpa semasa buat persembahan sahaja. Kami tak sempat untuk berkolaborasi bersama meskipun ada hasrat tersebut,”katanya.

Ito berkata demikian semasa ditemui di studio latihan di Taman Melawati, di sini.

Sementara itu, Ito kagum dengan semangat perjuangan Allahyarham Jay Jay dalam bidang muzik sehingga mampu kekal relevan dalam tempoh lama dalam industri seni.

“Arwah pemuzik yang berdedikasi. Sebab itu dia boleh kekal relevan sehingga akhir hayat. Dia seorang penyanyi yang berkualiti dan ada ilmu.

“Bagi saya, Carefree memang sebuah band yang popular pada era mereka,”katanya.

Terdahulu, penyanyi legenda, Jay Jay, 66, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9.27 malam kelmarin.

Jenazah Allahyarham Jay Jay telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya pada pukul 11.15 pagi semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN