Jauhi 'bomoh' rawat kanser, risiko komplikasi kesihatan lain - pakar

Jauhi ‘bomoh’ rawat kanser, risiko komplikasi kesihatan lain – pakar

IMI Sairi memberi taklimat kepada pejuang kanser payudara sebelum berlepas bersama mereka ke Tanah Suci.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Segelintir pesakit kanser di negara ini percaya bahawa jika tubuh mereka ditusuk benda tajam sama ada menerusi jarum suntikan atau pisau boleh menyebabkan kanser terus merebak.

Fahaman itu menyebabkan ramai antara pesakit kanser terutama dalam kalangan bangsa Melayu memilih untuk beralih kepada rawatan perubatan alternatif dipelopori ‘bomoh’ atau ‘dukun’ berbanding rawatan di hospital.

Mengulas fahaman pelik itu, pakar kanser, Datuk Dr. Imi Sairi Ab Hadi berkata, kepercayaan dan fahaman itu tidak menjamin apa-apa dari sudut perubatan, malah ia adalah mitos semata-mata.

Dr Imi Sairi yang juga Ketua Jabatan Pembedahan dan Perunding Kanan Endokrin dan Pakar Kanser Payudara Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) berkata, beliau akui ramai pesakit kanser yang mengguna pakai rawatan alternatif ini.

Beliau berkata, ramuan akar kayu yang digunakan bomoh dan dukun itu juga tidak dapat dibuktikan dari sudut kesembuhan, malah memberi kesan lain kepada kanser yang dihadapi.

“Saya dapati ada ubat-ubatan dibekalkan kepada pesakit oleh bomoh dan dukun agak bercanggah dan berlawan dengan ubat-ubatan moden. Saya  tidak menggalakkan mereka beramal dengan meminum air akar-akar kayu.

“Rawatan alternatif menggunakan ramuan akar kayu boleh menyebabkan darah akan cair, malah boleh mengundang komplikasi kesihatan lain sekiranya pesakit masih dalam kitaran kimoterapi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan 30 pejuang kanser payudara ke Tanah Suci bagi ibadah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Katanya, ada kalangan pesakitnya segera mencari perubatan alternatif selepas didiagnos kanser, namun selepas enam bulan ke setahun mereka kembali semula kepadanya dengan tahap kanser lebih teruk.

Dr Imi Sairi berkata, di Kelantan, sekitar 54 peratus pesakit kanser datang mendapatkan rawatan pada tahap 3 dan 4 kerana mereka telah berjumpa bomoh terlebih dahulu.

Jelasnya lagi, beliau menasihatkan pesakit kanser supaya menjauhi rawatan perubatan alternatif kerana kandungan ubat yang diberikan juga tidak mendapat pengesahan perubatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya