PETALING JAYA: Kerajaan menggesa umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan upacara yang bertentangan akidah Islam susulan kehadiran individu digelar raja bomoh, Ibrahim Mat Zin di lokasi tragedi lubang benam di Jalan Masjid India, semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Ibrahim sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.
“Individu tersebut membuat pengakuan bersalah.
“Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan juga memerintahkan individu ini menjalani konsultasi akidah di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 506).
“Oleh itu, kerajaan menyeru umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan apa-apa aktiviti upacara yang bertentangan akidah Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im mengarahkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memanggil individu itu dengan segera bagi memberi nasihat tentang batas-batas akidah dan iman, serta tidak terjebak dalam amalan yang membawa kepada penghinaan kepada agama Islam.
Semalam, Ibrahim mencuri tumpuan pengamal media apabila hadir di lokasi tragedi lubang benam melibatkan seorang warga India, Vijayaletchumy, 48, di Jalan Masjid India, Jumaat minggu lalu.
Katanya, kehadirannya di lokasi kejadian untuk membantu usaha mencari mangsa yang terjatuh ke dalam lubang benam di sana.
“Saya datang bukan sebab apa, saya lihat mereka dah berhari jalankan usaha pencarian, namun tak jumpa.
“Saya mahu tolong pencarian ini dan guna kaedah tertentu sekiranya,” katanya. – UTUSAN