Jangan sebar berita palsu insiden tanah jerlus di Kuala Lumpur - MKN - Utusan Malaysia

Jangan sebar berita palsu insiden tanah jerlus di Kuala Lumpur – MKN

SAIFUDDIN Nasution Ismail (kiri) menyerahkan MyKid kepada seorang bayi, Muhammad Arash Muhammad Satria Agus bersama ibunya pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang, Kuala Nerus, hari ini.- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Orang ramai digesa tidak menyebarkan berita palsu insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, yang dikhuatiri boleh menimbulkan keresahan awam.

Ini termasuk dakwaan Kuala Lumpur bukan lagi bandar selamat ekoran kejadian itu dan berpotensi berlaku lubang benam lebih besar seperti yang tular di media sosial.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, penyebaran berita palsu boleh menganggu tugas pasukan penguatkuasa dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, pihak yang tidak bertanggung jawab itu menimbulkan kerisauan masyarakat boleh dikenakan tindakan tegas atas kesalahan menyebarkan berita palsu.

“Tindakan ini juga boleh menjejaskan emosi serta perasaan keluarga mangsa, lebih-lebih lagi dakwaan Kuala Lumpur bukan lagi bandar selamat dibuat tanpa sumber sahih.

“Tatkala kejadian tanah jerlus ini, beberapa berita palsu telah dikesan. Jadi saya gesa hentikan perbuatan ini dan biar pihak berkuasa jalankan tugas dengan baik,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya tidak teragak-agak ambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu dan membuatkan masyarakat cemas.

Terdahulu tular di media sosial hantaran mendakwa Kuala Lumpur bandar paling tidak selamat di Malaysia dan berpotensi berlaku lebih banyak kejadian tanah jerlus.

Dakwaan itu susulan kejadian seorang wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang benam, minggu lalu dan belum ditemui sehingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya