KUALA LUMPUR: Kes salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Projek Jana Wibawa ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 September ini.
Mahkamah pada hari ini sepatutnya mendengar permohonan Presiden Bersatu itu untuk menangguhkan kes itu sementara menunggu permohonan semakan Muhyiddin di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, mahkamah hari ini dimaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan akan membuat semakan terhadap keputusan yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu pada 11 September ini.
Hadir pada prosiding hari ini ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam bela, Chetan Jetwani.
Pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan agar keempat-empat pertuduhan itu ‘dihidupkan semula’ selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membatalkan kesemua pertuduhan itu.
Muhyiddin memfailkan permohonan semakan tersebut pada 29 Februari lalu atas alasan antaranya panel tiga hakim itu telah memutuskan bahawa empat pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009 yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah jelas.
Oleh itu, tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan.
Dalam keputusan Mahkamah Tinggi di sini bertarikh 15 Ogos 2023, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas mendapati keempat-empat pertuduhan berkenaan adalah cacat, tidak berasas dan tidak jelas.
Beliau berpuas hati, pertuduhan yang dihadapi Presiden Bersatu itu tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemuanya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi Bersatu.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. – UTUSAN