'Jaga adik baik-baik'

‘Jaga adik baik-baik’

ROZ ARIFFIN ROZAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Arwah pesan suruh jaga adik-adik dengan baik. Jaga keluarga dan pastikan semua dijaga dengan baik,” kata Roz Ariffin Rozaid, 33, anak kepada Allahyarham Rozaid Abdul Rahman.

Roz Ariffin ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, di sini berkata, arwah kelihatan sihat selepas dibenarkan keluar dari hospital minggu lalu.

“Setakat minggu lepas semuanya okey sebab baru keluar hospital dan makan ubat yang diberi oleh doktor.

“Sepatutnya hari ini, arwah ada pemeriksaan kesihatan susulan dekat hospital,” katanya.

Allahyarham Rozaid meninggalkan seorang isteri, Norliza Radzi, 56, dan tujuh anak masing-masing berusia 17 hingga 33 tahun beserta seorang cucu perempuan berusia 20 bulan.

Allahyarham Rozaid menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya petang semalam akibat masalah jantung.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, Allahyarham Rozaid begitu komited dalam memastikan bahawa segala berita naratif dibawa Kerajaan Perpaduan dibawa dengan baik.

Menurutnya, pemergian Allahyarham pastinya merupakan kehilangan besar kepada Kerajaan Madani.

“Insya-Allah dari sudut lain kita akan cuba sedaya upaya bantu keluarga arwah. Marilah kita semua sama-sama doakan mudahan arwah mendapat tempat disisi Allah SWT,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, kira-kira 10.50 pagi tadi.

Lebih 200 orang hadir memberi penghormatan terakhir termasuk ahli keluarga arwah dan warga Pejabat Pejabat Menteri (PMO). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN