KUALA LUMPUR: UMNO mahu bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dijadikan sebagai pilihan arus perdana kepada generasi muda.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bagi membuka ruang lebih luas kepada anak-anak muda menyertai sektor ekonomi dan perindustrian negara.
Malah katanya, ketika ini beberapa kejayaan telah dapat dibuktikan menerusi hasil usaha dalam memartabatkan bidang TVET.
“Contohnya Norazian Mohd Sobri lepasan Madrasah Nahdhah Hasanah, Kedah Darul Aman kini bergelar jurutera penerbangan bersama Thales Singapura.
“Di samping itu, seramai 622 orang lagi, berjaya menjadi jurutera penerbangan setelah mendapat latihan di UniKL-MIAT. Selain itu, seramai 1,225 anak-anak muda kita juga telah mengikuti kursus kemahiran hingga ke China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.
Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan agar Majlis Amanah Raya (Mara) melengkapkan ekosistem pendidikannya dengan membuka sekolah-sekolah rendah.
“Ini bagi memastikan agenda membangunkan generasi masa hadapan dapat digarap dengan silibus pembangunan modal insan yang mantap.
“Kita juga akan mengangkat cadangan kepada kerajaan agar semua Sekolah Rendah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) melaksanakan program Ulul Albab sepenuhnya.
“Ini bagi memastikan wujudnya kesinambungan pendidikan al-Quran yang telah kita mulakan di peringkat Tabika,”ujarnya.- UTUSAN