GEORGE TOWN : Kerajaan digesa menjadikan Carcosa Seri Negara sebagai galeri khas untuk menyimpan semua maklumat mengenai Perdana Menteri Malaysia bagi memastikan bangunan kolonial bersejarah itu tidak terus dilupakan.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd, Yussof Latiff berkata, Carcosa Seri Negara yang dibina pada tahun 1915 perlu dipulihara dan dihidupkan sebagai bangunan mercu tanda warisan negara untuk generasi muda.
“Bagi menghidupkan semula bangunan Carcosa ini, saya cadangkan supaya ia dijadikan pusat penyelidikan dan penyimpanan maklumat serta galeri khas yang menyimpan sejarah kesemua Perdana Menteri di negara ini.
“Pihak berkenaan boleh mengumpulkan kesemua maklumat mengenai Perdana Menteri yang mentadbir negara dan meletakkannya di Carcosa agar ia boleh dijadikan warisan negara dan orang ramai dapat datang ke situ untuk menghayati sejarah,” katanya di sini, hari ini.
Mohd. Yussof mengulas mengenai keadaan terkini bangunan Carcosa Seri Negara yang kini bernilai RM1 bilion, namun, terbiar kosong dimamah usia tanpa sebarang fungsi.
Sehubungan itu, ramai pihak menyuarakan kebimbangan bahawa kemungkinan Carcosa Seri Negara bakal lenyap sekiranya tiada apa-apa tindakan pemeliharaan dan pemuliharaan diambil.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) berkata, soal politik harus diketepikan dalam usaha menjadikan Carcosa Seri Negara sebagai galeri khas untuk menyimpan maklumat kesemua Perdana Menteri negara.
“Tidak kira Perdana Menteri itu dari parti mana, PKR atau DAP pun, asalkan dia Perdana Menteri dan ketua kerajaan kita, maklumat mengenainya serta dasar-dasar yang dibawanya harus disimpan untuk dijadikan rujukan.
“Jangan lihat perbezaan politik, yang penting ini adalah untuk negara. Sejarah mereka perlu diketahui dalam satu bangunan yang akan terkumpul di situ untuk generasi muda lihat,” katanya.
Tambahnya, beliau sendiri pernah menginap di Carcosa Seri Negara sebelum ini dan lokasi itu sangat indah, jadi amat merugikan sekiranya bangunan yang penuh nilai sejarah itu tidak dipulihara.
“Generasi muda harus tahu mengenai sejarah Carcosa Seri Negara ini. Jadi, jangan dijual atau diswastakan kepada sesiapa pun bukit bersejarah ini.
“Kerajaan perlu memainkan peranan untuk memastikan bangunan bersejarah ini dipulihara kerana ia penuh dengan nilai sejarah,” katanya.-UTUSAN