Jabatan Penjara perluas sekolah tahfiz di semua institusi penjara  Jabatan Penjara perluas sekolah tahfiz di semua institusi penjara 

Jabatan Penjara perluas sekolah tahfiz di semua institusi penjara 

ABDUL Aziz Abdul Razak (tiga kiri) semas merasmikan Pelancaran Program Marathon Huffaz Sesi 3/2024 & Dialog Prestasi Pelajar Bersama Keluarga di PPA Machang, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) sedia memperluaskan penubuhan kelas atau sekolah tahfiz di seluruh penjara di setiap negeri bermula tahun ini.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, setakat ini penubuhan sekolah tahfiz sudah dilaksanakan di Penjara Kluang Johor, Kelas Tahfiz Khairul Ummah di Penjara Kajang dan Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang.

Menurut beliau, pengajian berteraskan pengajian tahfiz merupakan salah satu usaha kepada aspek pemulihan akhlak dalam kalangan prospek.

“Setakat ini, pelaksanaan sekolah tahfiz sudah mendapat perhatian institusi penjara di Selangor, Perak serta Sabah dengan kerjasama jabatan serta Majlis Agama Islam di negeri masing-masing.

“Malah Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang,Kelantan telah menjadi penanda aras kepada pelaksanaan sekolah tahfiz dan menjadi contoh kepada institusi penjara yang lain,”katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Program Marathon Huffaz Sesi 3/2024 & Dialog Prestasi Pelajar Bersama Keluarga di PPA Machang di sini hari ini.

Kata  Abdul Aziz berkata, pihaknya yakin dan percaya bahawa prospek yang bergelar mujahid terpilih untuk menjadi huffaz al-Quran hasil sistem pendidikan tahfiz ini akan memberi satu dimensi baru kepada semua agensi agama negeri.

“Dalam pengukuhan sahsiah prospek ini, kita menekankan penghafalan al-Quran,fardhu ain dan asas fardhu ain yang mantap seterusnya memahami secara mendalam isi kandungan al-Quran.

“Mudah-mudahan selepas para mujahid ini berjaya mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran, mereka mampu berbakti dan berkhidmat untuk masyarakat di luar sana sebagai contoh menjadi imam masjid,bilal dan guru tahfiz dan sebagainya,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad berkata, penubuhan sekolah tahfiz dalam penjara adalah satu inisiatif yang luar biasa dan usaha berkenaan akan turut dilaksanakan di Sabah.

“Kita akan menjadikan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) sebagai rakan strategik termasuk meminta khidmat nasihat berhubung pelaksanaan sekolah tahfiz ini.

“Pelaksanaan sekolah tahfiz ini juga akan dilakukan mengikut kemampuan dan kita bercadang untuk melibatkan prospek wanita,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN