PETALING JAYA: Tersasul ketika berucap atau berkata-kata tanpa sebarang niat yang disengajakan adalah kesilapan yang biasa berlaku kepada manusia yang hukumnya dimaafkan oleh Allah.
Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu dijelaskan menerusi ayat kelima Surah al-Ahzab.
“Dan tiada kesalahan ke atas kamu pada apa yang kamu tersilap tetapi (yang salah) ialah apa yang disengajakan oleh hati kamu. Dan adalah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
“Dalam Hadis, Nabi S.A.W menjelaskan tentang seorang hamba yang terlalu dan teramat gembira menemui kembali untanya yang turut membawa makanan dan minumannya yang hilang di padang pasir setelah puas berusaha mencari dan telah berputus asa menemuinya kembali sehingga tersasul ketika bersyukur kepada Allah lalu menyebut, Ya Allah! Kamulah hambaku dan akulah Tuhanmu, dia tersilap (tersasul) kerana terlampau gembira. (Hadis riwayat Muslim no 2747)
“Kegembiraan yang amat sangat menjadikan si hamba tersasul menyebut perkataan yang pada zahirnya menjadikan dirinya kufur sedangkan niatnya ialah bersyukur kepada Allah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian merujuk kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tersasul menyebut ‘hidup Israel’ dalam Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Justeru, Mohd Khairuddin berkata, tindakan itu merupakan kesilapan yang berlaku dalam keghairahan dan semangat mendokong Palestin dan menentang rejim haram Israel.
“Malah berulang kali sebelum dan selepasnya beliau menyebut kata-kata yang tepat iaitu ‘Hidup Palestin, Hancur Israel’.
“Kesilapan tersebut termasuk dalam kategori kesilapan yang dimaafkan oleh Allah dan tidak diambil kira dalam catatan amalan sebagaimana Hadis Nabi SAW, Sesungguhnya Allah menggugurkan daripada umatku kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atas dirinya.
(Hadis Ibnu Majah no 2045. Dinilai Sahih oleh al-Albaani),” katanya.
Namun, katanya, malang sekali apabila kesilapan itu dijadikan modal politik oleh ahli politik yang rendah akhlaknya dengan mempersendakan ucapan tersebut di media maya.
Sedangkan katanya, semua pernah mendengar beberapa pimpinan politik lain juga turut tersasul ketika berucap.
“Sepertimana berlaku kepada Menteri Besar Kelantan yang tersasul ketika berucap di Nenggiri dengan menyebut, Pas adalah Bersatu dan Bersatu adalah DAP’.
“Begitu juga pernah berlaku seorang pimpinan Dewan Ulamak Pas yang tersasul mendoakan kemusnahan Perikatan Nasional (PN) ketika berdoa secara jamaei dalam perhimpunan ramai.
“Marilah kita serikan pentas demokrasi politik negara kita dengan hiasan akhlak mulia meskipun kita berbeza,” katanya. – UTUSAN