PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melaksanakan audit khas terhadap insiden demi insiden membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS), baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan audit khas itu akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini.
Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi MAS sebelum ini, malah siasatan dijalankan terhadap siri insiden membabitkan pesawat milik Malaysia Aviation Group (MAG) itu.
“Kita sudah hubungi pihak MAS, malah sebelum ini pun kita sudah lancarkan siasatan sebab ada insiden sebelum ini (seperti berpatah balik dan gelora udara).
“Saya akan melaporkan (penemuan dalam audit) kepada Kabinet Rabu ini dan sudah pasti tindakan susulan akan diambil oleh CAAM,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, pihaknya memandang serius berhubung apa yang berlaku membabitkan pesawat milik MAG itu.
Loke berkata, pihaknya juga sudah meminta MAG mengambil tindakan sewajarnya supaya operasi mereka lebih lancar dan tidak kompromi isu keselamatan.
Menurutnya, antara cabaran utama ialah gangguan terhadap kelengkapan alat ganti pesawat dan kekurangan tenaga kerja yang menganggu kerja-kerja penyelenggaraan.
Ditanya mengenai kenyataan disuarakan oleh bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung isu itu, Loke berkata, kenyataan itu ibarat mempersoalkan tahap profesionalisme MAG dan MAS.
“Saya tidak ada kesangsian ke atas tahap profesionalisme mereka (MAG dan MAS) malah, saya sentiasa meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada mereka.
“Saya pasti aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan sebab itu CAAM melaksanaan siasatan segera, bukan sebab bekas menteri bersuara baru kita buat siasatan.
“Sebarang insiden berlaku, syarikat penerbangan atau mana-mana syarikat, mesti laporkan kepada CAAM. Apa sahaja insiden termasuk dilanggar burung, patah balik atau gelora udara mesti laporkan kepada CAAM,” katanya.
Katanya, sebaik laporan dibuat, CAAM akan lakukan siasatan serta lawatan mengejut ke jabatan kejuruteraan MAG.
Jelasnya lagi, adalah idak patut untuk mana-mana pihak menimbulkan krisis keyakinan terhadap MAG mahupun MAS, namun, mereka telah lakukan terbaik untuk meyakinkan penumpang.
Loke berkata, masalah teknikal bukan hanya dilalui MAG sahaja sebaliknya ada banyak syarikat penerbangan lain berdepan masalah sama.
“Saya harap orang awam dapat melihat ini bukan hanya masalah MAS sebaliknya ini masalah didepani industri penerbangan hari ini,” katanya. – UTUSAN