Isu sumber berita: Wartawan perlu beri kerjasama kepada polis

Isu sumber berita: Wartawan perlu beri kerjasama kepada polis

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Pengamal media di negara ini dinasihatkan supaya memberi kerjasama baik kepada pihak polis bagi membantu siasatan mengenai mana-mana sumber berita yang diperoleh.

Itu ingatan diberikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil susulan siasatan Bukit Aman terhadap artikel dikeluarkan portal berita Malaysiakini mengenai rancangan rombakan besar-besaran kepimpinan tertingginya.

Fahmi berkata, walaupun kementeriannya menghormati hak media untuk melindungi sumber mereka, namun undang-undang sedia ada masih terpakai.

“Jika ada laporan polis yang dibuat berdasarkan undang-undang sedia ada, kita mohon sesiapa yang terlibat dalam siasatan untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis.

“Pihak polis akan melakukan siasatan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, polis mengesahkan menerima laporan berhubung artikel Malaysiakini yang mendakwa ibu pejabat polis Bukit Aman merancang rombakan besar-besaran kepimpinan tertingginya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, laporan itu dibuat oleh seorang pegawai polis di Bukit Aman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Di bawah Seksyen 505(b), ia berkenaan dengan niat hendak menyebabkan, atau mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya seseorang itu mungkin terdorong melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam.

Sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula berkenaan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar. Sabit kesalahan membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Laporan Malaysiakini memetik sumber sebagai mendakwa Bukit Aman merancang beberapa pemindahan berprofil tinggi dan nama yang dikaitkan termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri, Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Bagaimanapunz Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam menyifatkan spekulasi rombakan itu, sebagai ‘tidak benar’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN