Isteri penyelam TLDM minta orang ramai tidak cetus spekulasi

Isteri penyelam TLDM minta orang ramai tidak cetus spekulasi

Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden kematian Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa, yang meninggal dunia dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Penyusop semalam.

Isteri Aallahyarham menerusi hantaran di Facebook menggunakan nama akaun ‘Hanaa Ariana’ berkata, harapan itu dibuat kerana kejadian berkenaan masih dalam siasatan pihak berwajib.

“Saya sebagai isteri arwah meminta jangan ada pihak yang membuat sebarang andaian terhadap insiden yang berlaku kepada arwah suami saya.

“Insiden ini juga masih dalam siasatan, biarlah hanya pihak atasan dan juga kru yang bertugas pada masa ini yang mengetahui punca insiden dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap tidak ada pihak mengeluarkan spekulasi tidak benar dan tidak sahih mengenai insiden tersebut dan memahami keadaan yang dihadapinya.

TLDM dalam kenyataan semalam memaklumkan, jenazah anggota yang berkhidmat sebagai penyelam ranjau pasukan itu dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) berada di Hospital Sultan Ismail untuk proses bedah siasat.

Jenazah itu kemudian akan dibawa ke Lahad Datu, Sabah untuk dikebumkan.

KD Pendekar tenggelam semasa pelayaran operasi di perairan Tanjung Penyusop dan mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air pada 25 Ogos.

Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan semua 39 kru sebelum kapal itu ditenggelami air sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN