KUALA LUMPUR: Pelakon, Iqram Dinzly mendedahkan impiannnya untuk mendirikan rumah tangga selepas melihat rakan-rakan selebriti lain mempunyai anak.
Kata Iqram atau nama sebenarnya Mohamad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 43, dia ingin untuk mempunyai zuriat yang mampu untuk menjadi penyambung kepada legasi dirinya.
“Saya nak tengok zuriat saya. Bila saya tengok rakan – rakan selebriti seperti Rozita Che Wan, Awal Ashaari dan ramai lagi yang dah ada anak.
“Bila saya tengok mereka sudah mempunyai warisan dan legasi, saya juga nak lihat kesinambungan legasi saya sendiri,” katanya.
Pelakon itu ditemui media pada majlis pelancaran produk terbaharu Avenys iaitu krim pelindung matahari Sun Spectrum+ 2 dalam 1 baru-baru ini.
Selain itu, pelakon filem Zim Zim Ala Kazim itu turut berkongsi ciri- ciri wanita idamannya untuk dijadikan sebagai isteri.
“Ciri -ciri pilihan saya adalah mengikut empat teras islam, iaitu keturunan, harta, kecantikan dan agama.
“Saya tidak sempurna, oleh itu saya kena cari orang yang boleh membimbing saya yang nakal ini tapi hendak dibandingkan dengan diri saya yang dulu, itu lagi teruk.
“Untuk mencari, saya hanya serahkan kepada Allah S.W.T sebab saya bukan baik mana pun, cuma saya nak seseorang yang boleh sama-sama belajar ilmu Islam,” katanya.
Sementara itu, pelakon kelahiran Perak itu turut berkongsi bahawa dia masih tidak mencari pasangan kerana lebih fokus dalam membahagiakan ibu tercinta.
“Saya cakap terus terang, dalam hati saya buat masa ini hanya mama sahaja, yang untuk saya fikirkan.
“Sebab selama ini saya rasa macam saya tak mampu nak bahagiakan kerana masih ada papa.
“Bagi ruang kepada saya untuk fikirkan kebahagiaan mama dahulu, baru fikirkan berkenaan isteri dan anak-anak.-UTUSAN