Insiden tanah jerlus: SAR diteruskan, tiada arahan henti - Fahmi

Insiden tanah jerlus: SAR diteruskan, tiada arahan henti – Fahmi

PASUKAN mencari dan menyelamat menjalankan operasi di tapak tanah jerlus yang mengakibatkan seorang wanita warga India hilang di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. – MINGGUAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buat masa ini, tiada arahan dikeluarkan untuk menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga India yang masih hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Kabinet hari ini ada dimaklumkan mengenai perkembangan insiden itu.

“Mengenai tempoh SAR, belum diputuskan sama ada akan dihentikan. Maka, selagi mana tidak diumum pemberhentian SAR, ia akan diteruskan.

“Hari ini, mesyuarat menerima laporan awal daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengenai isu tanah jerlus itu.

“Beliau (Dr Zaliha) memaklumkan bahawa beberapa manhole (lurang kumbahan) sudah disiasat dan diperiksa, malah loji rawatan kumbahan Pantai 1 dan Pantai 2 Indah Water Konsortium (IWK) juga sedang diuruskan dan disiasat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, setakat ini, operasi di loji kumbahan pemprosesan IWK itu masih tidak menemukan mangsa.

Fahmi berkata, Jemaah Menteri juga dimaklumkan mengenai penemuan satu insiden tanah jerlus kira-kira 50 meter dari lokasi pertama sebelum ini dan ia sedang disiasat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya juga ada dimaklumkan mengenai tanah jerlus di Parlimen Lembah Pantai. Saya ingin jelaskan, ia adalah dua insiden berbeza tetapi isu asasnya berkait dengan penyelenggaraan saliran.

“Petang ini, saya dan Dr Zaliha akan melawat tapak terbabit,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Vijayaletchumy, 48, yang hilang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, kini memasuki hari keenam.

Operasi SAR di kawasan ‘end point’ iaitu loji di Pantai Dalam semalam tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN