Ini fasa akhir saya, beri saya 10 tahun lagi - Ajai - Utusan Malaysia

Ini fasa akhir saya, beri saya 10 tahun lagi – Ajai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“LAGU ciptaan saya adalah masterpiece yang tersendiri.”

Demikian perkongsian penyanyi, komposer dan penulis lirik yang disegani, Mohamad Faizal Maas atau Ajai mengenai lebih 1,000 yang dihasilkan beliau.

Ada benar apa yang dikatakan Ajai itu. Sebilangan besar lagu-lagunya, lebih-lebih lagi yang berentak balada, menyimpan magis dan kekuatan yang tersendiri.

Lihat sahajalah, berapa ramai penyanyi, yang nama mereka melonjak dengan lagu-lagu yang dihasilkan figura ini.

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, diva terulung, Ziana Zain, ratu soprano, Ning Baizura, ratu R&B, Dayang Nurfaizah dan ramai lagi mungkin pada tahap ini terus berterima kasih buat Ajai kerana menganugerahkan mereka karya-karya hebat yang sifatnya malar segar.

Dan kerana faktor itu jugalah, peminat, kira-kira 4,200 kesemuanya, berduyun-duyun menghadiri konsert Ajai & Mega Friends di Mega Star Arena KL, baru-baru ini.

Tidak mungkin peminat malam itu pulang hampa. Kerana yang disajikan di konsert tersebut adalah persembahan yang berkelas antarabangsa.

Kemenjadian konsert tersebut adalah disebabkan lagu dan penyanyinya. Peminat datang untuk menonton kehebatan vokal Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Aina Abdul, Hazama, Ila Sabri, Aufahanie dan beberapa lagi mempersembahkan lagu-lagu yang kebanyakannya menjadi OST kehidupan ramai orang sedari dulu.

Disifatkan berjaya, Ajai sudah memasang niat, memacakkan perancangan bagi kesinambungan konsert tersebut dengan penampilan nama-nama yang lebih besar di masa akan datang.

“Sekarang ini adalah fasa-fasa akhir saya, fasa menganjurkan konsert, sama ada bersama Exist mahupun solo.

“Saya kini berusia 50 tahun, beri saya 10 tahun lagi (terus aktif), itu pun kalau diberi umur panjang.

“Jadi saya akan teruskan konsert ini. Mungkin akan ada 2.0, 3.0 dan seterusnya. Kita boleh bawakan Ziana, Misha Omar, Siti, Ning, Ella, Datuk Sheila Majid, Faizal Tahir dan ramai lagi.

“Ibarat David Foster and Friends, tapi rasanya dia pun tak mampu nak bawa penyanyi asal menyanyi untuk konsertnya kerana bayaran. Kita bernasib baik, sebab masih mampu,” kongsinya.

PESAN UNTUK HAFIZ
Antara yang tular dan diperkatakan adalah kemunculan Hafiz Suip yang lama menyepi dan menghilang dari radar dunia seni.

Malam itu adalah yang berbahagia buat Hafiz dan peminat yang saling mengubat rindu. Buat kesekian kalinya, peminat berpeluang menyaksikan Hafiz secara live mempersembahkan lagu Ku Akui dan Tak Mungkin Kerna Sayang yang dipopularkan Alyah.

“Hafiz yang saya kenal, apa juga masalah yang dihadapinya tak mengganggu profesionalisme, komitmen dan tanggungjawabnya.

“Bahkan ketika latihan, dia berulang alik dari Sarawak ke Kuala Lumpur kerana hormatnya dia kepada saya yang padanya ibarat seorang abang.

“Sempat saya nasihatkan dia, jangan saya manusia lebih daripada Allah. Move on daripada apa sahaja masalah dihadapinya.

“Jangan tinggalkan kerjaya, dan jangan buat perkara yang bukan dirinya,” kongsi Ajai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN