Industri toksik, suka ‘membawang’, ALVN pernah terfikir bersara - Utusan Malaysia

Industri toksik, suka ‘membawang’, ALVN pernah terfikir bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Alvn atau Alvin Chong mendedahkan pernah terfikir untuk berundur daripada industri hiburan.

Ujarnya, perasaan itu muncul kerana pelakon She Was Pretty itu berpendapat industri hiburan menjadi semakin toksik dengan sikap penggiat seni yang suka mengumpat.

“Perasaan itu datang setiap tahun kerana banyak aspek. Antaranya saya susah mahu berkawan kerana kebanyakannya suka ‘membawang’ di set.

“Saya pelik kenapa kita tidak boleh rasa gembira apabila seseorang mencipta kejayaan seperti buat konsert. Sepatutnya kita doakanlah yang terbaik.

“Jika ada yang bercerai, tidak perlulah beri komen kerana kita tidak tahu apa yang terjadi dalam rumah tangga seseorang.

“Sama juga, jika saya hadapi satu masalah, saya tidak mahu kawan saya bersuara dan sepatutnya melindungi saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Rabu.

Selain itu, penyanyi Mencintaimu ini juga mengakui lambakan pendatang baru juga membuatnya risau dan merancang mencari kerjaya yang lebih stabil.

“Selain itu pendapatan juga menjadi faktor. Saya takut hayat saya dalam industri tidak panjang.

“Wujud perasaan tidak yakin diri apalagi dengan lambakan pendatang baru. Sebab itu saya buat banyak benda seperti terlibat dalam fesyen hingga merakam lagu Inggeris.

“Saya pernah terfikir patutkah saya bertukar kepada kerjaya yang ada pencen,” jelasnya.

Namun begitu, Alvn bagaimanapun bersyukur kerana muzik telah banyak membantunya melakui episod sukar.

Susulan itu, dia telah menghasilkan sebuah album baharu, Between The Lines yang memuatkan lapan lagu.

“Bila sedih saya akan dengar muzik yang sesuai dan nangis sepuasnya.

“Saya juga menerima komen lagu saya membantu pendengar menjalani fasa sukar dalam hidup mereka

“Lagipula sudah masanya saya menulis lagu. Saya selesa menulis dalam bahasa Inggeris selain mudah untuk saya menjalankan kerja promosi di luar negara.

“Lagipula saya percaya, oranf kita juga faham dan dengar lagu bahasa Inggeris,” katanya.

Between The Lines’ telah dilancarkan di semua platform media digital bermula 16 Ogos lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN