Imigresen selamatkan enam wanita warga asing dieksploitasi seks

Imigresen selamatkan enam wanita warga asing dieksploitasi seks

JABATAN Imigresen Malaysia menyelamatkan enam wanita warga asing dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks di ibu negara semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menyelamatkan enam wanita warga asing dipercayai dijadikan mangsa eksploitasi seks dalam serbuan di premis kedai tiga tingkat di ibu negara, semalam. 

Serbuan bermula pukul 10 malam itu dijalankan sepasukan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, mangsa membabitkan lima warga Vietnam dan seorang Thailand berusia 23 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun disyaki berperanan sebagai ‘handler’ dan ‘captain’ dipercayai mengawal wanita warga asing selain mendapatkan keuntungan hasil eksploitasi.

“Kita tidak menolak kemungkinan aktiviti ini melibatkan sindiket. Modus operandi sindiket adalah menjanjikan peluang pekerjaan yang sah, namun telah dieksploitasi sebagai pekerja seks sebaik tiba di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sindiket mempromosi mangsa ini melalui aplikasi dalam talian di mana wanita yang dipilih akan diuruskan langganannya di premis tersebut.

Katanya, sindiket telah mengaut keuntungan berlipat ganda hasil daripada mengeksploitasi mangsa dengan mengenakan kadar bayaran sebanyak RM240 bagi satu jam langganan, sebaliknya mangsa hanya diberikan upah sebanyak RM100 bagi tempoh tersebut. 

Tambah Ruslin, pergerakan kesemua wanita ini terbatas dan dikawal sepenuhnya oleh ‘handler’ (suspek).

“Makanan juga hanya dipesan melalui aplikasi p-hailing, tidak dibenarkan keluar untuk mendapatkan barangan keperluan diri selain pasport turut dipegang oleh sindiket,” katanya.

Tegas beliau, siasatan dijalankan di bawah Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang.

“Imigresen amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil, selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” ujarnya.

Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM  dan AMLA melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya