Ibu kandung, bapa tiri didakwa bunuh anak perempuan 8 tahun

Ibu kandung, bapa tiri didakwa bunuh anak perempuan 8 tahun

Sepasang suami isteri yang disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sehingga meninggal dunia didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Selayang, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Selayang di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pengawal keselamatan, Mohamad Zulhelmy Amirrudin, 29, dan suri rumah, Norfazira Radzi, 30, sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohamad Zulhelmy adalah bapa tiri mangsa manakala Norfazira adalah ibu kandung kanak-kanak itu.

Mereka didakwa bersama-sama membunuh Nur Anissa Afiera Muhamad Zulhafize di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tasik Puteri di sini antara pukul 11.51 pagi dan 3.51 petang, 17 Ogos lalu.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara di antara 30 tahun dan 40 tahun serta jika tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Izariah Zainal manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Sebelum ini, media me­laporkan sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan itu sehingga meninggal dunia di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Pemeriksaan mendapati ada kesan lebam di muka, tangan, kaki serta badan mangsa dipercayai dicederakan dengan tangan atau kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN