TAPAH: Seorang ibu tunggal yang kehilangan suami lebih 10 tahun lalu, berharap anak sulungnya yang dibebaskan daripada Penjara Tapah di sini menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Di Nanti), benar-benar berubah atas kekhilafan yang lalu.
Ibu tunggal yang ingin dikenali Noli, 51, berkata, pada mulanya dia tidak meletakkan sebarang harapan kepada anaknya, Daniel (bukan nama sebenar), 28, atas kesalahan melupuskan barang curi.
“Saya harap dia benar-benar berubah kerana perit sebagai ibu tunggal menjaga tujuh orang anak lagi-lagi ada anak yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum ini.
“Mulanya saya tidak meletakkan sebarang harapan pada Daniel tetapi nampak banyak perubahan pada dia menyebabkan saya terharu dan ingin menangis kerana gembira,” katanya ditemui pada majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Kemerdekaan Kali ke-67 Peringkat Penjara Negeri Perak di Penjara Tapah, Tapah Road di sini hari ini.
Sementara itu, Daniel berkata, dia bergembira kerana keluarga sudi menerimanya kembali atas kesalahan yang dilakukan sebelum ini.
“Saya bertaubat daripada menjadi seorang anak yang derhaka dan berharap dapat menghilangkan stigma masyarakat bekas banduan sukar untuk diterima keluarga dan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, seorang prospek yang ingin dikenali Loga, 38, dari Teluk Intan dekat sini, berkata, telah cukup keluarganya menderita kerana kesalahan lampau menagih ganja.
“Cukuplah sudah, saya ingin bekerja dan berbakti kepada isteri dan tiga orang anak,” katanya.
Bagi Abang Mi, 35, cukuplah sebanyak lima kali dia terpaksa mendiami tirai besi kerana kesalahan menagih dan mengedar dadah jenis morfin dan heroin.
“Saya ingin jadi orang lain bebas daripada dadah, kembali bekerja dan berbakti kepada keluarga,” katanya.
Jabatan Penjara Negeri Perak membebaskan 411 prospek (bekas banduan) melalui program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Di Nanti) secara bersyarat setakat ini.
Pengarah Penjara Negeri Perak, Timbalan Komisioner Penjara, C. Charin Promwichit berkata, pembebasan itu melibatkan seluruh institusi penjara di negeri ini.
“Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi seperti hukuman kurang setahun, satu hingga tiga tahun dan golongan rentan terutama warga emas berumur 70 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik.
“PBSL melibatkan prospek dikembalikan kepada keluarga, dipadankan dengan majikan terpilih dan Rumah Perantaraan (RP),” katanya.
Seramai 34 prospek dibebaskan menerusi PBSL hari ini yang turut melibatkan 14 orang di Penjara Tapah. – UTUSAN