Hujan lebat banjir kilat landa Shah Alam, Kuala Selangor - Utusan Malaysia

Hujan lebat banjir kilat landa Shah Alam, Kuala Selangor

Banjir
JALAN Felda Bukit Cherakah berhampiran persimpangan lampu isyarat tiga daerah ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan melanda sekitar pantai barat Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Padang Jawa, Seksyen 16 di sini dilanda banjir kilat dengan paras air menghampiri satu meter menyebabkan berlaku kesesakan dekat jalan raya berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa, hari ini.

Banjir kilat tersebut dilaporkan melanda kira-kira pukul 5 petang itu ekoran hujan lebat berterusan sepanjang hari di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini serta Klang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.07 petang dan menggerakan sepasukan enam pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, paras air naik sekurang-kurangnya 0.7 meter dan dipercayai berpunca daripada longkang tersumbat dengan longgokan sampah.

“Sampai di lokasi, benar berlaku banjir kilat (termasuk) di dalam kawasan sekolah kesan dari longkang tersumbat dengan sampah sarap.

“Tindakan anggota melakukan pembersihan pada laluan longkang sehingga jalan keluar air berfungsi sepenuhnya. Selesai operasi jentera dan anggota kembali semula ke balai (Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam),” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, kejadian banjir tidak menyebabkan berlaku sebarang pemindahan sama ada orang awam ataupun pelajar di sekolah terlibat dan air surut sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia diberitahu, hujan lebat turut melanda Klang Utara dan Kuala Selangor sehingga menyebabkan Jalan Felda Bukit Cherakah menghala ke Puncak Alam ditenggelami air.

Berdasarkan maklumat diterima, banjir di kawasan berkenaan berlaku sejak petang tadi pada paras hampir satu meter menyebabkan kesesakan sehingga di persimpangan lampu isyarat tiga daerah (Petaling, Klang, Kuala Selangor). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN