MELAKA: Hujan yang turun sejak awal pagi langsung tidak menyuramkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri apabila kira-kira 40,000 pengunjung membanjiri Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir di sini, hari ini.
Sambutan diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd. Rahman; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan isteri, Datin Seri Zuriyah Ab. Aziz serta barisan kepemimpinan kerajaan negeri.
Pada tahun ini, sambutan membawa semangat mengekalkan dan menghayati makna kemerdekaan yang berfokuskan kepada semangat patriotisme, merapatkan semangat ukhuwah dalam kalangan rakyat serta menghayati semangat perjuangan pahlawan terdahulu dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dengan iringan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disusuli ikrar Rukun Negara dan laungan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali.
Perbarisan dan perarakan kemerdekaan sejauh 4.8 kilometer (km) tahun ini membabitkan lebih 8,000 peserta daripada 161 kontinjen daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun negeri dan Persekutuan, agensi dan syarikat swasta, institusi pengajian tinggi awam dan institusi pengajian tinggi swasta, sekolah-sekolah, kelab dan persatuan.
Sambutan turut diserikan dengan pertunjukan lintas udara oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Turut mengambil bahagian adalah perarakan bot dan ski jet di Sungai Melaka yang bermula dari Taman Rempah, Pengkalan Rama hingga ke Jeti Casa Del Rio.
Sambutan kali ini diadakan di lokasi baharu iaitu di Persiaran Jalan Merdeka berbanding kebiasaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan untuk menyediakan ruang daripada segi parameter keluasan lebih besar dengan penambahbaikan dalam kemudahan awam seperti grand stand awam berkapati 1,000 kerusi.
Dalam pada itu, pemasangan skrin layar lebih banyak turut dilakukan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai. – UTUSAN