Hubungi talian 997, elak kerugian lebih besar

Hubungi talian 997, elak kerugian lebih besar

Shamshun Baharin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Talian 997 merupakan satu nombor kecemasan yang boleh dihubungi orang ramai khususnya mereka yang menyedari menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian atau scam untuk membuat aduan.

Menerusi talian 997 yang dikendalikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaaan atau National Scam Response Centre (NSRC) ini membolehkan tindakan segera diambil bagi melakukan sekatan terhadap wang yang dipindahkan mangsa kepada penjenayah.

Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Dato’ Sri Shamshun Baharin berkata, NSRC merupakan pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap jenayah penipuan dalam talian.

Kata beliau, tindak balas ini termasuk pengesanan dana yang dicuri secara lebih cepat selain tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah dapat diambil.

“Mana-mana individu yang terpedaya, tidak kira diri sendiri, ahli keluarga atau rakan terdekat yang menyedari terdapat transaksi meragukan, boleh membuat panggilan di talian 997 bagi membolehkan pihak berkuasa menyekat pengaliran wang lebih banyak lagi.

“Jika terdapat pindahan wang yang meragukan tanpa kebenaran, talian ini juga boleh dihubungi oleh mereka agar semakan dilakukan dengan kadar segera,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Shamshun berkata, NSRC berjaya mengesan, menjejak dan menyekat sebanyak RM134 juta dana yang ditipu bagi kes penipuan dalam talian bagi tempoh tahun ini.

Daripada jumlah itu, ujar beliau, sebanyak RM62 juta wang melibatkan kes jenayah penipuan berkait Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah berjaya disekat oleh NSRC setakat Jun lalu. Selain itu, NSRC juga telah membekukan 637 akaun dengan nilai RM72 juta bagi kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Pusat panggilan yang beroperasi selama 12 jam bermula 8.00 pagi sehingga 8.00 malam setiap hari itu menghimpunkan sumber dan kepakaran daripada ramai pihak terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta disokong oleh institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi dalam membanteras penipuan kewangan dalam talian dengan lebih cepat dan berkesan.

“Mangsa perlu menghubungi talian NSRC 997 dengan pantas selepas menyedari terdapat transaksi mencurigakan atau telah ditipu dan akan berkomunikasi secara terus dengan pegawai NSRC, tanpa perlu mengambil masa lama untuk membuat aduan mereka sekali gus dapat mengurangkan jumlah kerugian yang lebih besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shamshun berkata, NSRC adalah pusat respons pantas jenayah penipuan dalam talian dan tugas NSRC yang utama adalah menerima panggilan aduan bagi tindakan awal untuk menyekat akaun yang mencurigakan. Seterusnya, mangsa perlu membuat laporan polis di balai berhampiran agar siasatan boleh dibuat oleh pihak PDRM.

NSRC TERIMA 104,326 PANGGILAN

Sementara itu, Shamshun berkata, kesedaran orang awam ke atas kewujudan dan pengoperasian NSRC selama hampir dua tahun pusat panggilan ini ditubuhkan adalah memberansangkan.

“Keadaan ini dapat dilihat apabila sebanyak 104,326 panggilan diterima sejak penubuhan NSRC pada Oktober 2022 sehingga Jun lalu oleh orang awam.

“Bagaimanapun, daripada jumlah panggilan diterima, sebanyak 16,449 adalah aduan kes dan selebihnya adalah berkaitan dengan pertanyaan dan ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden jenayah penipuan kewangan dalam talian,” ujar beliau.

Beliau memberitahu, pengoperasian dan penguatkuasaan NSRC akan menggunakan akta-akta berkaitan Kanun Keseksaan [Akta 574] diikuti Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] ; Akta AMLA [Akta 613] ; Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 613] ; Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] serta Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 [Akta 822].

Selain menggunakan peruntukan sedia ada di Bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 [Akta 758] ; Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759] ; Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 [Akta 618] dan Akta Kesalahan Kecil [Akta 336].

“Dengan merujuk kepada peruntukan-peruntukan dalam akta-akta tersebut, pegawai NSRC boleh menggunakan kuasa yang diberikan untuk menjalankan operasi penyiasatan, penguatkuasaan undang-undang dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan dengan keselamatan dan pencegahan jenayah penipuan.

“Ini termasuklah pemantauan dan pematuhan ke atas undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan jenayah penipuan kewangan dalam talian,” katanya.

KELDAI AKAUN

Shamshun berkata, trend jenayah penipuan dalam talian di Malaysia dilihat begitu serius dan membimbangkan apabila sejak akhir-akhir ini jumlah kerugian dilaporkan mencecah jutaan ringgit.

Beliau berkata, keadaan ini bertambah parah apabila sindiket dilihat dua langkah ke hadapan dan antara faktor penyumbang kepada kegiatan itu adalah kewujudan akaun keldai.

“Kita lihat, sindiket jenayah penipuan ini umpama seperti satu pekerjaan professional pula. Mereka menjalankan kajian dan penyelidikan termasuk social engineering dan menyalahgunakan teknologi maklumat untuk mengenalpasti serta memperdaya mangsa-mangsa mereka. Akhirnya, mereka dengan mudah dapat memperolehi maklumat dan data peribadi mangsa bagi memperdaya mereka.

“Setakat Jun lalu, NSRC juga telah berjaya mengenal pasti sebanyak lebih 85,355 akaun bank yang disyaki digunakan sebagai akaun keldai bagi kes melibatkan jenayah penipuan kewangan dalam talian ini,” katanya.

Tambah Shamshun, akaun keldai ini ‘dibeli’ sindiket penipuan dengan tawaran RM500 kepada pemilik asal akaun itu untuk memindahkan wang haram.

“Sindiket ini akan mencari individu yang terdesak seperti penagih dadah, pelajar atau peminjam wang untuk menggunakan akaun bank mereka. Pemilik bank ini pula, fikir mereka dapat wang secara mudah walhal akaun bank mereka digunakan untuk aktiviti jenayah.

“Ke hadapan nanti apabila Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] telah diwartakan, pemilik akaun keldai ini boleh dikenakan tindakan lebih berat.

“Jadi pemilik akaun bank khususnya pelajar harus beringat dan berhati-hati agar tidak terlibat dengan sindiket penipuan ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain kewujudan akaun keldai, trend baharu dalam jenayah penipuan yang dikesan oleh NSRC merangkumi pelbagai bentuk taktik dan teknik serta modus operandi.

Antaranya pemancingan data (phishing), di mana penjenayah mencuba untuk mendapatkan maklumat peribadi melalui e-mel atau laman web palsu. Penipuan menggunakan media sosial juga semakin meningkat, di mana penjenayah menyamar sebagai individu atau perniagaan yang dipercayai untuk menipu mangsa. Jenayah penipuan melalui aplikasi e-dagang juga mungkin menjadi trend baru, dengan penjenayah mencipta laman web palsu yang menjual produk yang tidak wujud.

Selain itu, antara modus operandi yang kerap digunakan adalah scammer menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasa seperti Pegawai PDRM, SKMM, NSRC dan sebagainya yang mengatakan bahawa nombor talian atau mangsa terlibat dengan aktiviti jenayah.

“Penting untuk orang ramai tetap waspada dan sentiasa mengesahkan kesahihan sesuatu perkara atau tawaran sebelum membuat sebarang transaksi. Jika anda ada maklumat lebih lanjut atau spesifik mengenai trend ini,” nasihat beliau.

SERIUS TANGANI JENAYAH PENIPUAN KEWANGAN

Dalam pada itu, Shamshun berkata, kerajaan ketika ini dilihat komited dalam memperkukuhkan NSRC pada masa depan selain menonjolkan imej NFCC sebagai proaktif dan berada satu langkah di hadapan berbanding penjenayah penipuan kewangan.

Beliau berkata, ini dapat dilihat melalui pengumuman Bajet 2023 dengan peruntukan sebanyak RM10 juta serta penambahan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada NSRC pada tahun ini.

“Peruntukan ini adalah untuk mengukuhkan NSRC bagi membendung dan menangani isu jenayah penipuan kewangan dalam talian yang semakin meningkat dengan lebih berkesan dan bersepadu,” ujarnya.

Tambah beliau, NSRC juga baru melancarkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang telah disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri, Amir Hamzah Azizan pada 20 Ogos lalu bagi mengautomasikan dan meningkatkan keupayaan pengesanan jejak dana penipuan selain mengenal pasti individu atau kelompok keldai akaun yang terkait dengan dana yang dicuri daripada mangsa jenayah penipuan kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN