PETALING JAYA: Pelakon, Tya Arifin tidak mengesahkan juga menafikan spekulasi bahawa adik iparnya, Aazief Khalid, mempunyai hubungan istimewa dengan pengacara jelita, Amelia Henderson.
Bagaimanapun, Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin berpendapat keakraban mereka berdua hanyalah sebagai kawan semata-mata.
“Apa yang saya boleh cakap, tanyalah sendiri dengan tuan punya badan.
“Tapi jika dari pandangan saya, mereka masih berkawan sahaja,” katanya.
Tya berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang warganet menerusi satu siaran langsung di aplikasi TikTok, hari ini.
Terdahulu, Amelia dan Aazief mencuri perhatian apabila dilihat hadir bersama ke konsert Cinta Di Awan di pada 11 Ogos lalu.
Bukan itu sahaja, Aazief turut memuat naik gambar Amelia bersama keluarganya di Instagram.
Amelia pernah bercinta dengan pelakon, Aedy Ashraf sebelum memaklumkan sudah berpisah awal bulan ini. -UTUSAN