Hospital Putrajaya sambut enam bayi 'merdeka'

Hospital Putrajaya sambut enam bayi ‘merdeka’

Enam bayi 'merdeka' dilahirkan di Hospital Putrajaya serentak hari ulang tahun kemerdekaan negara ke-67. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Enam bayi ‘merdeka’ dilahirkan di Hospital Putrajaya serentak hari ulang tahun kemerdekaan negara ke-67, yang disambut hari ini.

Bayi berkenaan masing-masing tiga lelaki dan tiga perempuan itu dilahirkan hari ini dan antara yang terawal sekitar pukul 12.39 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) JKWPKL dan Putrajaya, Dr Muhammad Yusuf Sibert berkata, enam bayi itu yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan itu dilahirkan secara normal dan pembedahan.

“Bayi pertama dilahirkan pada pukul 12.39 pagi tadi. Setakat petang ini, enam bayi dilahirkan dan kita berharap ada lagi dan boleh sasar dua angka kelahiran di sini.

“Mungkin boleh cecah lebih 10 orang bayi hari ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat keenam-enam bayi berkenaan di wad 2A Hospital Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, ibu muda, Iffatun Nisa Andul Halim, 26, ketika ditemui berkata, dia sepatutnya dijadualkan bersalin pada 16 September ini namun, anak sulungnya itu mahu dilahirkan awal.

Katanya, dia gembira kerana bayinya itu dilahirkan pada tarikh keramat sempena hari kemerdekaan negara.

“Dia (bayi) disambut dengan bunga api, dan letupan mercun. Moga dia berjiwa patriotik dan sayangkan negara,” katanya yang belum lagi terfikir nama sesuai bagi bayi sulungnya itu.

Bagi Adly Ukasha Abdul Malik, 27, pula, kelahiran bayinya itu ia tidak menjadi alasan untuk dia dan isteri tidak mengingati tarikh lahir anak sulungnya itu.

“Bila anak lahir sempena tarikh kemerdekaan, susah untuk kami dilupakan sebab satu negara akan sambut hari kelahiran dia,” katanya.

Dalam pada itu, Ang Yit Hua, 33, berkata, dia amat teruja kerana bayi keduanya lahir pada tarikh yang sangat istimewa.

“Lebih istimewa, bayi perempuan yang saya lahirkan hari ini menjadi pelengkap saya dan suami kerana anak sulung kami adalah lelaki.

“Saya dan suami harap dia akan jadi anak yang baik dan paling penting dia sentiasa gembira dan lebih sayang kepada negaranya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya