'Hormati semangat Kerajaan Perpaduan, jangan tuntut itu, ini'

‘PRK DUN Mahkota: Hormati semangat Kerajaan Perpaduan, jangan tuntut itu, ini’

AHMAD Zahid Hamidi ketika hadir Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Putrajaya. -- UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Jangan cuba tuntut itu dan ini sebaliknya memahami semangat yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan.”

Itu ingatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada rakan dalam komponen parti kerajaan berhubung polemik pemilihan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO setakat ini belum duduk dan berbincang bagi memuktamadkan calon PRK DUN Mahkota itu.

“Kita belum duduk dan berbincang pun, jadi saya fikir kita mesti menterjemahkan semangat Kerajaan Perpaduan dan bukannya tuntut itu dan ini.

“Sila hormati kalau kerusi itu kepunyaan sesebuah parti. Jadi formulanya kerusi tu akan diberikan kepada parti berkenaan lah ..bukan tuntut itu dan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Simposium Luar Bandar Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, masih terlalu awal untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai calon PRK itu, namun atas semangat perpaduan ia perlu dilakukan atas kesepakatan kerajaan negeri dan kepimpinan pusat terlebih dahulu.

Ahmad Zahid berkata, selepas perbincangan itu, maka baru lah parti akan mengaturkan penyelesaian terbaik.

“Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain baru sahaja meninggal dunia. Kita kena simpati dengan keluarganya dan jangan tergopoh-gapah untuk buat formula politik,” katanya yang mahu perkhidmatan untuk rakyat harus disambung.

Jelasnya lagi, kenyataan (tuntutan kerusi) sebelum ini datang daripada ketua pemuda bahagian sahaja bukannya pemimpin di peringkat pusat.

Media sebelum ini melaporkan, Amanah Kluang dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota yang akan diumumkan tidak lama lagi berikutan Amanah pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022.

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros dilaporkan menyifatkan tindakan Amanah itu sebagai gelojoh dan tamak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN