Hasrat tawan Gunung Kinabalu tercapai sebelum meninggal

Hasrat tawan Gunung Kinabalu tercapai sebelum meninggal

SAUDARA-MARA dan rakan menziarahi Allahyarhamah Rosita di kediamannya di Kampung Pokok Tampang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR : Impian Allahyarhamah Rosita Che Ros, 54, untuk menawan Gunung Kinabalu akhirnya tercapai sebelum wanita itu dilaporkan meninggal dunia sewaktu menuruni puncak gunung terbabit, kelmarin.

Abangnya, Datuk Zamri Che Ros berkata, kali terakhir beliau bertemu adiknya itu adalah seminggu sebelum arwah bersama suaminya berangkat ke Sabah.

“Saya ada nasihatkan arwah supaya berhati-hati dan jangan terlalu ‘push’ (paksa) diri memandangkan masing-masing sudah berusia. Namun, arwah meyakinkan saya bahawa itu adalah ekspedisi terakhirnya.

“Arwah beritahu, selepas berjaya tawan Gunung Kinabalu, dia sudah tidak mahu mendaki lagi dan hendak berehat.

“Setahu saya, arwah sihat dan dia tidak menghidap sebarang penyakit. Jadi, memang terkejut dengan pemergiannya secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pokok Tampang di sini, hari ini.

ROSITA CHE ROS

Mengulas lanjut, Zamri memaklumkan, adiknya yang juga ibu kepada empat anak itu aktif dalam aktiviti mendaki sejak enam tahun lalu selepas berhenti kerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.

“Anak-anaknya juga sudah dewasa dan masing-masing telah mendirikan rumah tangga. Maka, arwah memang punyai banyak masa yang terluang. Baru-baru ini juga, arwah ada ke Thailand untuk menyertai aktiviti mendaki di sana,” katanya yang memaklumkan, terdahulu, jenazah arwah adiknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pokok Tampang selepas solat Asar tadi.

Kelmarin, media melaporkan, arwah mengalami kesejukan dan berada dalam keadaan lemah ketika menuruni Gunung Kinabalu di Kilometer 8 kawasan pergunungan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd. Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian terbabit pada pukul 11.24 pagi.

“Pasukan penyelamat dan Malim Gunung seterusnya menghubungi dan memohon bantuan tambahan kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MoSAR) untuk tindakan lanjut.

“Mangsa dibawa ke ‘Sick Bay Panalaban’ untuk rawatan lanjut termasuk bantuan lanjut oksigen dan diberi bantuan pernafasan (CPR). Namun, mangsa selepas itu masih tidak sedarkan diri.

“Kemudian, mangsa diusung turun ke Timpohon Gate menggunakan ‘Neil Roberston Stretcher’ oleh pasukan MoSAR, TTS dan Malim Gunung,” katanya yang memberitahu, sebaik tiba di situ, mangsa dirawat oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum disahkan meninggal dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya