SHAH ALAM: Penyanyi lagu ‘Mimpi Laila’ menganggap prosiding yang dilaluinya pada hari ini sebagai ‘hari yang gelap’ selepas mendengar keputusan penjara seumur hidup dijatuhkan ke atasnya berkaitan pertuduhan dadah dihadapinya, dua tahun lalu.
Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 49, berkata akan membuat rayuan dalam masa terdekat menerusi peguamnya di Mahkamah Rayuan.
“Hari yang gelap dan keputusan yang sangat pelik. Apa yang saya tidak boleh terima kenapa saksi pakar tidak langsung diambil keterangan dan tidak dipakai (Mahkamah Tinggi).
“Itu sesuatu yang sangat pelik,” katanya sambil berteriak ketika meninggalkan kamar Mahkamah Tinggi, hari ini.
Sebaik dijatuhi hukuman tersebut, Yasin dilihat menitiskan air mata berpelukan dengan ahli keluarga termasuk anak perempuannya yang berusia 16 tahun selepas hakim meninggalkan kamar.
Pada prosiding tersebut, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan dan mengenepikan hukuman Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dengan menjatuhi penjara seumur hidup atas pertuduhan berkaitan dadah dihadapinya.
Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan kepada penyanyi tersebut yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah termasuk menanam 17 pokok ganja.
Dalam pada itu, Peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin memberitahu akan memasukkan notis rayuan keputusan tersebut esok.
Beliau menegaskan, pihaknya percaya Yasin tetap tidak bersalah dan perlu menjalani rawatan yang diterimanya seperti mana sekarang sekarang di Hospital Bahagia, Ulu Kinta.
“Keputusan hari ini, kita akur dan hormat dan Mahkamah Tinggi ada hak untuk mengesahkan atau menukar apa-apa keputusan di Hakim Mahkamah Sesyen.
“Kita ada satu lagi lapisan di Mahkamah Rayuan dan kita akan lawan habis-habisan di peringkat tersebut,” tegasnya.
Ariff Azami turut berharap rawatan dan perubatan yang telah dijalani anak guamnya itu dapat diteruskan di Penjara Kajang nanti.
“Kita akan uruskan dari segi ubat-ubatan yang diperolehi dari Hospital Bahagia ketika dia di penjara,” ujarnya. – UTUSAN