DUBAI: Hanya rundingan gencatan senjata api di Gaza dapat menghalang Iran daripada melakukan serangan balas terhadap Israel, menurut Pegawai Kanan Iran.
Memetik laporan Reuters, salah satu sumber iaitu pegawai kanan keselamatan Iran berkata, pihaknya bersama sekutu seperti Hezbullah akan melancarkan serangan langsung jika rundingan Gaza gagal atau ia dianggap Israel sedang mengheret rundingan.
Namun sumber itu tidak menyatakan berapa lama Iran akan membenarkan rundingan diteruskan sebelum melakukan tindakan balas.
Sebelum ini, Iran berikrar akan bertindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, yang berlaku di Teheran dan menyalahkan Israel.
Namun Israel tidak mengesahkan atau menafikan penglibatan, tetapi Amerika Syarikat telah mengerahkan aset pertahanan ke Timur Tengah.
Sebelum ini, konflik di Asia Barat semakin tegang setelah Iran dikesan mahu melancarkan serangan terhadap Israel dalam masa terdekat sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ismail di Teheran, awal bulan ini.
Perkara itu berdasarkan sumber risikan Israel yang percaya bahawa Iran telah memutuskan untuk melancarkan serangan terhadap negara itu dalam masa beberapa hari lagi, memetik laporan Alarabiya News.
Malah Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir menggesa Israel dan Hamas digesa kembali ke meja rundingan untuk menyambung semula perbincangan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tahanan sebagai satu langkah menamatkan segera konflik.-AGENSI