ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain menyerahkan kepada pihak pengurusan bagi membuat keputusan berhubung pemilihan pemain untuk diserap ke dalam pasukan sempena jendela perpindahan kedua yang dibuka baru-baru ini.
Menurut Nafuzi, beliau juga sudah mengemukakan perancangan yang dirasakan sesuai bagi menambah kekuatan Sang Kenari dan kini hanya menanti ‘lampu hijau’ daripada pihak pengurusan.
Katanya, perbincangan sentiasa berjalan antara barisan kejurulatihan dan pengurusan yang sentiasa disesuaikan dengan kemampuan semasa kewangan pasukan.
“Saya rasa kita perlu ambil peluang dengan jendela perpindahan ini untuk meningkatkan kemampuan pasukan bagi mengatasi kekurangan yang ada. Dalam hal ini, saya serahkan kepada pihak pengurusan dan sudah tentu, mereka akan berikan yang terbaik.
“Masa masih panjang kerana jendela perpindahan baru dibuka. Jika ada khabar mengatakan terdapat pemain kita akan keluar, itu juga sesuatu yang normal kerana kita juga ‘mengintai’ pemain lain untuk kuatkan pasukan.
“Dalam aspek perpindahan pemain ini, saya memang kena bincang dengan pengurusan untuk melihat kesesuaiannya. Semua ini melibatkan kewangan pasukan dan kita perlu sepakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena perlawanan persahabatan antarabangsa ‘Nusantara Challenge’ dengan Malut United dari Indonesia, yang berlangsung di Stadium Darul Aman, petang esok.
Ditanya khabar menyatakan tonggak tengah dari Bahrain, Habib Haroon akan meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan kali ini, Nafuzi meminta agar semua pihak menantikan kenyataan daripada pihak pengurusan.
“Habib memang sudah tidak menjalani latihan. Tetapi kalau ada sebarang spekulasi, kita tunggulah pihak pengurusan,” katanya.
Sementara itu kapten Sang Kenari, Sony Norde menyifatkan KDA FC ketika ini berada di kedudukan tidak sepatutnya dalam Liga Super iaitu di tangga kelapan liga.
“Namun perjalanan liga ini ibarat maraton dan perlumbaannya masih panjang. Jadi kami masih ada peluang membaiki kedudukan seperti mana dimahukan Nafuzi setiap kali di padang latihan.
“Saya percaya kepada kualiti pemain yang ada dalam pasukan dan kami akan berusaha untuk meletakkan KDA di kedudukan sepatutnya. Masih ada masa untuk melakukan sesuatu dan tiada siapa tahu sama ada pasukan ini akan berada di kedudukan dua atau tiga teratas pada akhir musim,” katanya. – UTUSAN