Guru SK Bintong jahit sendiri Jalur Gemilang gergasi - Utusan Malaysia

Guru SK Bintong jahit sendiri Jalur Gemilang gergasi

MURID-murid dan guru bergambar bersama Jalur Gemilang gergasi yang dihasilkan oleh guru-guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Guru-guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong di sini, mengumpul duit sesama sendiri menghasilkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.

Malah, guru-guru sekolah berkenaan juga mengambil inisiatif menjahit sendiri 56 helai Jalur Gemilang bagi menghasilkan bendera gergasi bersaiz 66×15 kaki persegi itu.

Guru Besar SK Bintong, Zairi Bakar berkata, guru-guru sekolah itu saling bekerjasama bagi menghasilkan bendera berkenaan yang digantung di bangunan sekolah.

Katanya, penghasilan Jalur Gemilang itu bermula daripada hasil perbincangan antara guru bersama kakitangan sekolah dalam usaha menarik minat dan memberi ‘wow faktor’ untuk keterujaan kepada murid.

“Jalur Gemilang gergasi itu mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan sepenuhnya. Jalur Gemilang ini juga akan digantung sehingga Hari Kebangsaan nanti bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan dalam kalangan murid-murid,” katanya ketika ditemui bersempena majlis sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat SK Bintong 2024 semalam.

Bersempena majlis itu, murid-murid SK Bintong turut berpakaian ala pahlawan dengan bertemakan kemerdekaan sebagai simbolik bagi sambutan berkenaan.

Selain itu, terdapat beberapa acara lain turut dianjurkan antaranya seperti Pertandingan TikTok Jiwa Merdeka, Hiasan Kelas Sudut Jiwa Merdeka, Pertandingan Menghias Basikal Merdeka dan pelbagai lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Perlis, Che Rasaidi Che Yob, berkata, penganjuran sambutan kemerdekaan dan penghasilan Jalur Gemilang gergasi itu merupakan usaha pihak sekolah bagi menghasilkan program berimpak buat murid-murid.

Katanya, usaha ini juga dapat memantapkan penghayatan murid-murid tentang kemerdekaan di samping membangunkan jiwa mereka dalam aspek kepercayaan diri, keyakinan diri dan motivasi diri.

“Penghasilan Jalur Gemilang ini juga dapat memberi keterujaan buat murid-murid di samping membuka ruang buat mereka memahami erti sebenar kemerdekaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya