SHAH ALAM: Seorang guru besar di sebuah sekolah mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam berhubung bantuan awal persekolahan pada 2019.
Azatulakmal Abd. Razak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Azatulakmal, 54, sebagai guru besar di sebuah sekolah di Petaling Jaya didakwa dengan tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Akuan Penerimaan atau Penolakan Pembayaran Bantuan Awal Persekolahan 2019 Peringkat Sekolah.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sekolah tempatnya bertugas pada 2019.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM10,000 bersama penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport ke mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran.
Bagaimanapun, Azatulakmal yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia baru diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi.
“Saya tidak mampu buat pinjaman untuk menampung kes saya selain menjaga seorang ibu dan adik yang sakit mental,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes pada 17 September depan. – UTUSAN