Gangguan seksual: Pengadu nafi berniat jumpa Ebit Lew

Gangguan seksual: Pengadu nafi berniat jumpa Ebit Lew

EBIT Lew semasa hadir perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Pengadu yang juga saksi kesembilan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew,38, menafikan andaian peguam bahawa dia berniat untuk berjumpa dengan Ebit.

Pengadu menyatakan mesej ‘nanti tu bila? nak jumpa ke?’ yang dihantar kepada Ebit kira-kira pukul 11.54 malam, pada 17 Jun 2021 sekadar satu persoalan dan bukan berniat untuk berjumpa.

Saksi kesembilan menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan dikemukakan peguam bela, Datuk Ram Singh semasa sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Pengadu turut memberitahu mahkamah bahawa dia tidak menggoda Ebit apabila berta­nya ‘kita sampai bila?’. Pertanya­an itu bukan bertujuan untuk menggoda.

“Tidak (goda), maksud saya sampai bila dia WhatsApp saya macam itu dan dia juga pernah ajak saya berjumpa tapi saya tidak mahu jumpa dia,” katanya.

Pengadu mengakui bahawa perbualan antara dia dan Ebit menerusi aplikasi WhatsApp pada 7 Mei 2021 berkait tentang seks. Tapi, dia sekadar membalas mesej yang dihantar oleh Ebit dan bukan mesej lucah seper­ti yang Ebit hantar kepadanya.

Dalam keterangannya, pe­ngadu memaklumkan dia hanya memberi maklum balas kepada mesej yang dihantar tapi bukan dengan balasan mesej lucah seperti yang ditulis oleh Ebit.

“Ya Rabbi terketawa pula, saya tulis macam itu sebab ayat lucah dia yang melampau.

“Untuk perkataan ‘huhu’, saya balas ‘huhu’ sebab ayat dia terlebih. Dia membayangkan seolah melakukan seks dengan saya.

“Saya balas ‘huhu’ tapi, bukan balas mahu melakukan apa dia tulis yang dia mahu lakukan perbuatan lucah pada saya,” katanya.

Pengadu turut memberitahu mahkamah nada suara ‘huhu’ bukanlah bunyi ketawa sebaliknya meluat. Biarpun ada mesej yang dihantar kedengaran dia dalam keadaan bergurau namun, bukan pada semua teks.

Ebit atau nama sebenar­nya Ebit Irawan Ibrahim Lew berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Te­nom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya