TENOM: “Gambar payudara itu bukan saya bagi, itu masa dia (Ebit) buat video call. Dia suruh buka (pakaian) dan mungkin dia tangkap layar (daripada video) sebab itu ada dalam simpanan,”.
Saksi kesembilan yang juga pengadu memberi keterangan sebegitu semasa perbicaraan membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew, 38, di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Saksi memberitahu mahkamah bahawa pada masa itu dia rasa agak bodoh sebab terpedaya dengan apa yang diminta oleh Ebit.
“Masa itu saya bodoh sebab terpedaya dengan apa yang dia (Ebit) suruh. Bagi saya, dia memang bersalah sebab sepatutnya, dia memberi nasihat pada orang yang memerlukan bantuan daripada dia tapi, apa yang dia buat itu adalah memperbodohkan orang…saya,” katanya.
Katanya, dia membuka pakaiannya kerana telah berulang kali diminta oleh Ebit. Sebelum itu, dia tidak bagi tetapi selepas beberapa kali dia terpedaya dan terikut dengan kemahuan tertuduh.
Mengenai pertanyaan peguam bela adakah gambar payudara itu adalah gambar swafoto yang diambil sendiri oleh saksi untuk diberikan kepada Ebit, saksi menjawab tidak pasti.
Kata saksi, dia tidak pasti sekiranya panggilan video dan gambar yang diambil boleh dikesan oleh pasukan forensik. Namun, daripada panggilan video dia ada berikan tapi, tidak pasti kalau daripada mesej Whatsapp.
Mengenai mesej pada gambar #63 yang dihantar oleh saksi ‘nanti awak ikut saya balik’. Ayat berkenaan merujuk kepada cadangan Ebit untuk bertukar pasangan dan saksi bertanya jika tertuduh berani buat sebegitu.
“Saya tanya berani ke? Selepas itu, dia minta gambar swafoto dan ajak main. Jadi, maksud ‘nanti awak ikut saya balik’, ayat itu maksudnya janganlah minta gambar saya,” katanya.
Mesej berkenaan dihantar kepada Ebit Lew namun, bukan bermaksud saksi mengajak Ebit balik.
Saksi turut menolak andaian peguam bahawa dia cuba mengalihkan bukti melalui keterangannya dengan meletakkan kesalahan kepada Ebit.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan. – UTUSAN