PUTRAJAYA: Gaji Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 (T5) bakal menyaksikan jumlah peningkatan pendapatan sehingga RM4,559.24 menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah peningkatan pendapatan bagi guru akan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu pada Disember 2024 dan Januari 2026.
Kata Anwar, gaji pegawai pendidikan yang berpendapatan bulanan RM3,838.00 sehingga November 2024 akan meningkat kepada RM4,085.04 pada Fasa 1.
Pada Fasa 2, katanya, guru hanya akan mencapai peningkatan gaji RM4,559.24 pada Januari 2026.
Pendapatan itu setelah dicampur dengan gaji pokok dan elaun, namun tidak termasuk elaun khusus.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA XIX), Perkhidmatan Awam Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Anwar ketika membentangkan simulasi jumlah pendapatan bulanan menyenaraikan empat lagi contoh perjawatan yang akan memperoleh peningkatan gaji:
1. Pembantu Hidupan Liar (Gred G11)
Pendapatan bulanan: RM1,795.00
Pendapatan bulanan Fasa 1: RM2,115.00
Pendapatan bulanan Fasa 2: RM2,327.00
2. Jururawat (Gred U29)
Pendapatan bulanan: RM2,457.00
Pendapatan bulanan Fasa 1: RM2,697.00
Pendapatan bulanan Fasa 2: RM2,994.74
3. Prebet (Askar) (Gred ZA1)
Pendapatan bulanan: RM2,379.00
Pendapatan bulanan Fasa 1: RM2,619.00
Pendapatan bulanan Fasa 2: RM2,857.63
4. Konstabel Polis (Gred YA1)
Pendapatan bulanan: RM2,256.00
Pendapatan bulanan Fasa 1: RM2,496.00
Pendapatan bulanan Fasa 2: RM2,726.02 – UTUSAN