KUALA LUMPUR : Penyanyi, Tom, mendedahkan, dia kembali berkenalan dengan suaminya, Fuad Rahman, ketika dia menyertai program Gegar Vaganza (GV9).
Berkongsi detik dan kenangan itu, kata Tom, Fuad sebelum ini adalah teman lelakinya namun berpisah kerana penyanyi itu mahu pulang ke tanah airnya di Singapura.
Bagaimanapun, Tom memberitahu dia tidak menyangka sejak detik itu, Fuad terus menghilangkan diri tanpa mengucapkan selamat tinggal.
“Gambar ini ditangkap masa sidang media GV. Memang tak sangka terjumpa kekasih lama. Kali terakhir jumpa masa kami ‘dating’ makan-makan di Danga Bay, Johor.
“Malam itu Fuad kerja di sebuah bar. Tom kerja di aras empat, tempat kerja Fuad. Dia cakap yang dia nak balik Singapura untuk cop pasport. Esok dia akan balik dan jumpa Tom.
“Tak sangka itu yang terakhir. Fuad hilang terus tak sempat ucap selamat tinggal masa itu. Penuh soalan yang tak terjawab. Terpisah di balik tembok batu. Dia di seberang, Tom dekat sini,” kongsinya.
Berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu, Tom memberitahu dia tidak menyangka mereka akan bertemu semula selepas 12 tahun berlalu.
“Terjumpa di sidang media GV. Takdir memang takdir. Semua soalan yang tergantung semua terjawab, tapi selepas 12 tahun,” katanya
Menurut Tom lagi, lima bulan berkahwin selepas program GV, Tom berharap dia dapat hidup bersama-sama Fuad sehingga mereka tua.
“Lima bulan lepas itu dia jadi suami kita. Tak mahu abang hilang-hilang lagi. Tom nak tua sama-sama dengan abang Fuad,” ujarnya.
Untuk info, Tom selamat bergelar isteri kepada Fuad pada 26 Februari 2023 di Batam, Indonesia.
Pasangan itu kemudian berkongsi berita gembira apabila mengumumkan Tom hamil anak pertama mereka pada Jun 2023.
Tom pernah berkahwin sebanyak dua kali dan dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki menerusi perkahwinan terdahulu.
Sementara itu, Fuad juga pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali.