Formula Sharifah Aini jadi legenda - Utusan Malaysia

Formula Sharifah Aini jadi legenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGENANG zaman sukses dan kegemilangan Allahyarham Datuk Sharifah Aini, sepanjang meniti 46 tahun perjalanan seninya, tidak dapat dinafikan arwah merupakan seorang anak seni yang sangat istimewa di hati peminat.

Tidak tergantikan dan berada di kelas tersendiri, Sharifah Aini atau mesra disapa sebagai Kak Pah di kalangan rakan industri dan peminat juga berjaya menjadikan karya muzik dan lagu-lagunya sebagai medium penyatuan terbaik pendengar berbilang bangsa.

Baik Melayu, Cina, India, atau etnik bangsa lain dalam negara, rata-ratanya mengenali Allahyarham sebagai penyanyi dan pelakon hebat ketika era 70-an dan 80-an sekali gus menjadikan arwah antara penyanyi kesayangan rakyat Malaysia bahkan sehingga ke hari ini.

Perkara itu juga diakui Editor Hiburan Suria FM dan penulis lirik, Roslen Fadzil yang pernah mencipta kenangan manis bersama Allahyarham Sharifah Aini sewaktu hayatnya masih ada.

Dari kaca mata Roslen, Sharifah Aini semasa hayatnya mempunyai keperibadian yang sangat tinggi. Tulus dan ikhlas dalam bersahabat, pemurah, berhati baik dalam masa yang sama kekal versatil dan hebat ketika beraksi di pentas.

“Semasa kecil saya sudah meminati arwah kerana lagu-lagu dan kemerduan suaranya. Antara lagu hits kesukaan saya adalah Seri Dewi Malam, Kekasih Pujaan, Kini Hatiku Telah Tertawan, Surat Dari Seberang, Hapuslah Airmatamu dan Terbang Helang. Dia juga hebat dalam sebagai pelakon dan naskhah lakonannya sentiasa mendapat sambutan hangat.

“Sampailah saya memulakan kerjaya sebagai wartawan pada tahun 90-an, saya berpeluang menulis dan reviu album-albumnya. Satu hari dapat panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Kak Ani.

“Saya tanyalah Kak Ani mana? Lalu dijawab, Sharifah Aini. Kita yang memang dah lama simpan hasrat nak jumpa dia apalagi, rasa terpegunlah. Tak sangka dia sendiri telefon semata-mata nak ucap terima kasih dan suka dengan tulisan saya.

“Dia beritahu ingin berjumpa dan nak kenal. Itu tak berlaku pada artis lain. Bermakna, cara dia menjalin silaturrahim antara artis dan wartawan itu sangat bagus,”katanya.

Berkongsi lanjut, kata Roslen, apabila sering dijemput ke kediaman arwah yang terletak di Petaling Jaya, daripada situ, ikatan persahabatan terjalin dengan baik antara kedua-dua mereka.

“Semakin lama mengenali, dapat dikatakan, saya melihat sikap sebenar arwah Sharifah Aini ketika dia tidak berada di pentas glamor. Dia seorang kakak, ibu dan kawan yang sangat prihatin.

“Dia tak suka melepak. Kalau tak ada kerja menyanyi, dia akan duduk di rumah dan itulah cara arwah mengekalkan eksklusivitinya,”katanya.

Bersetuju dengan pendapat bahawa Allahyarham Sharifah Aini merupakan seorang legenda yang tidak akan terganti, Roslen menyifatkan keistimewaan yang ada pada wanita tersebut menjadikan dia satu dalam jutaan anak seni.

Bahkan, kata Roslen, nyanyian Sharifah Aini juga tidak mampu ditiru oleh mana-mana penyanyi lain menjadikan dia berterusan diminati ramai termasuk di kalangan pelbagai bangsa.

“Bayangkan, dia bercakap pun suaranya sedap apatah lagi menyanyi. Bicaranya bagus, pandai berkomunikasi di pentas, dia ada banyak kelebihan sebagai seorang penghibur. Nyanyian dia pendek kata sempurna.

“Arwah juga bukan menyanyi dalam negara, tetapi di luar negara. Imejnya juga menjadi perhatian ramai sebab itulah dia digelar ‘Elizabeth Taylor Malaysia’. Saya perhatikan, tak ada orang yang mampu meniru suara arwah. Kalau Datuk Jamal Abdillah, ramai boleh tiru, tetapi dia tidak ada,”katanya.

Idola saya sampai bila-bila – Shiha Zikir
Merupakan protege kepada Allahyarham Sharifah Aini sewaktu menyertai program Mentor 5 pada tahun 2011, Shiha Zikir turut bersetuju bahawa sehingga kini, tiada yang dapat menggantikan seorang penyanyi yang hebat seperti arwah.

Mampu menyatukan rakyat Malaysia menerusi lagu-lagu dendangannya, Sharifah Aini baginya adalah legenda yang ada kelas tersendiri.

Bahkan, berpeluang menjadi anak didik kepada seorang legenda terkenal juga menjadi azimat dan kenangan paling manis yang pernah diraihnya sepanjang meniti perjalanan seni.

“Arwah Umi seorang yang tegas, dalam masa yang sama penyayang. Ketegasannya itulah yang menjadikan siapa saya hari ini. Waktu sertai Mentor dulu, kalau sedang belajar tentang nyanyian, dia sangat serius. Saya kena disiplinkan diri. Tetapi kalau di luar proses belajar, arwah seorang yang sangat ‘fun’.

“Umi juga seorang yang sangat pemurah. Kalau pergi rumah dia, macam mana sekali pun dia akan suruh juga kita makan apa yang dia masak. Bahkan setelah tamat program Mentor pun dia suruh saya datang ke rumah dia dan tak boleh tidak,”katanya.

Sama seperti Roslen, Shiha juga mengakui setakat ini tiada siapa mampu meniru suara arwah.

“Sebab itulah dia antara legenda yang tak akan tergantikan. Tiada siapa mampu jadi macam dia, tiru suara dia, merdu dan lenggoknya tersendiri. Rasanya Umi sahaja seorang. Bayangkan semasa dengar dia menyanyi di depan mata, bulu roma ini meremang. Bermaksud dia memang hebat.

“Saya syukur banyak belajar dengan dia sewaktu hayatnya. Malah, pernah katakan padanya yang saya nak jadi macam dia. Bagi saya, dia seorang wanita yang berdikari tanpa bergantung harap pada sesiapa.

“Seorang ibu tunggal, tetapi mampu mencipta kejayaan besar, dia sememangnya idola saya sepanjang hayat. Saya percaya kejayaan demi kejayaan yang pernah diraihnya semasa hidup itulah yang menjadikan rakyat pelbagai bangsa sangat mengagumi dan menghormatinya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya