Finas, Warner Music jalin kerjasama promosi karya tempatan ke peringkat global - Utusan Malaysia

Finas, Warner Music jalin kerjasama promosi karya tempatan ke peringkat global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan kerjasama strategik bersama Warner Music (WM) Malaysia untuk melonjakkan filem tempatan ke pentas global, sekali gus mewujudkan peluang baharu untuk bakat kreatif negara tempatan.

Kedua-dua organisasi itu akan melabur dalam pengeluaran dan mempromosikan eksport filem Malaysia, dengan tumpuan untuk memanfaatkan lagu runut bunyi (OST).

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, WM Malaysia dan Finas akan membangunkan OST untuk filem terpilih dengan tarikan domestik dan antarabangsa yang kukuh, memastikan muzik itu meningkatkan pengalaman sinematik dengan lancar.

“WM Malaysia juga akan memanfaatkan rangkaian global Warner Music Group yang luas untuk memudahkan kerjasama dengan artis antarabangsa.

“Kerjasama ini akan membawa perspektif baharu dan meluaskan jangkauan runut bunyi Malaysia.

“WM Malaysia juga akan memaksimumkan pengedaran dan impak OST ini dengan memanfaatkan hubungannya dengan platform digital terkemuka,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Azmer berkata, kerjasama itu akan menandakan satu pencapaian penting untuk industri filem tanah air, selain menunjukkan komitmen bersama dalam membawa bakat dan karya Malaysia kepada penonton global.

“Kerjasama ini berpotensi untuk mengangkat karya Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Hasil gabungan kepakaran WM Malaysia dalam muzik dan jangkauan globalnya, bersama-sama pemahaman mendalam kami tentang landskap filem tempatan,” ujarnya.

Jelasnya, kerjasama itu juga dibina berdasarkan kejayaan kerjasama WM Malaysia dengan artis Malaysia tempatan.

“Sebagai contoh, dua daripada tiga artis tempatan yang paling banyak distrim di Spotify tahun lepas telah menandatangani kontrak dengan Warner Music seperti Masdo menduduki tempat teratas dan Luqman Podolski menduduki tempat ketiga.

“Dalam masa yang sama, lagu hit SAH, kolaborasi Sarah Suhairi dan Alfie Zumi, merupakan lagu Malaysia dengan carta tertinggi di Indonesia tahun ini, serta menduduki tempat pertama di carta RIM Malaysia,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan WM Malaysia, Dinesh Ratnam berkata, syarikat sangat teruja dengan berpeluang bekerjasama dengan Finas yang dilihat selaras dengan visinya menyokong eksport bakat Malaysia ke pringkat global.

“Kami telah menyaksikan keupayaan runut bunyi dalam meningkatkan impak dan keterjangkauan sesebuah karya.

“Justeru, kami berharap kerjasama rapat ini dapat meningkatkan filem tempatan dan meningkatkan potensi eksport mereka dengan menggunakan rangkaian global kami,” kongsinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN