Filem tempatan perlu giat dieksport - Utusan Malaysia

Filem tempatan perlu giat dieksport

KUALA LUMPUR 20 OGOS 2024 - Sidang media Pertama Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching di Finas hari ini. / M.FIRDAUS M.JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN memberangsangkan filem tempatan di luar negara membuktikan filem-filem kita sebenarnya berdaya saing dan setanding antarabangsa.

Bukan tiada filem kita yang laku di negara lain, hakikatnya banyak yang terjual dan menerima reaksi positif audiens luar.

Masih ingatkah kita kepada filem Munafik 2, yang menembusi pasaran Thailand dan Vietnam dan mencipta sejarah di Indonesia apabila ditayangkan di lebih 116 pawagam di negara itu.

Tidak dilupakan filem animasi tempatan, Mechamato yang mana edisi bersirinya telah berjaya menawan 65 negara.

Dan yang terbaharu, filem Abang Adik yang bukan sahaja berjaya mengutip RM6.5 juta di Taiwan, malah menerima pelbagai pengiktirafan seperti anugerah utama di Festival Filem Far East ke-25.

Melihat kepada perkembangan itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), bersempena Festival Filem Malaysia ke-33, menetapkan hala tuju baharu, yang memfokuskan kepada filem Malaysia berkualiti untuk eksport.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, hala tuju tersebut menjadi visi untuk membawa filem tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Ini adalah visi untuk membawa sinema Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, di mana filem bukan sahaja dihasilkan untuk pasaran tempatan tetapi juga menembusi pasaran antarabangsa.

“Dengan sokongan kerajaan, Finas percaya industri perfileman mampu menjadi pemacu utama ekonomi kreatif dan budaya negara.

“Evolusi sinema Malaysia yang kita lihat hari ini adalah hasil transformasi dalam nilai produksi, pengukuhan bakat, dan pembangunan ekosistem dunia perfileman tempatan yang semakin bertaraf global,” katanya.

Kata Azmir, filem tempatan tidak lagi boleh dianggap sekadar untuk pasaran tempatan, sebaliknya perlu diusahakan tembusi pasaran luar.

“Ini kerana setiap karya yang dihasilkan tidak hanya ditujukan untuk hiburan, tetapi juga sebagai satu bentuk diplomasi budaya yang memperkenalkan Malaysia kepada dunia,” kongsinya.

FFM33
Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang akan berlangsung pada 7 Disember ini buat pertama kalinya bakal diadakan di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media.

Bertemakan Emas yang melambangkan evolusi dan kejayaan sinema Malaysia, FFM33 menyaksikan persaingan sengit antara lebih 100 buah filem yang diterbitkan dari 1 Oktober 2022 hingga 30 Jun 2024.

“FFM33 akan menampilkan 30 anugerah yang merangkumi pelbagai kategori. Finas juga ingin mengumumkan bahawa Anugerah Dokumentari Terbaik akan dipertandingkan semula.

“Keputusan untuk mempertandingkan semula kategori berkenaan adalah langkah kerajaan menghargai dan memartabatkan pelbagai genre dan bentuk karya dalam industri perfileman dan memperkayakan spektrum sinema Malaysia,” kata Azmir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya