Usaha Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis menganjurkan Festival Nasyid dan Khat Sekolah Rendah/Menengah peringkat daerah tersebut membuahkan hasil apabila berjaya mengenengahkan bakat baharu dalam kedua bidang tersebut.
Karnival tersebut bertemakan Adab dan Nilai Menjana Karamah Insaniah berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Padang Tengku, Lipis dengan membabitkan kira-kira 60 orang peserta dari Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah daerah itu.
Program itu juga turut disertai oleh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Lenjang dan SK Lanai daerah ini yang mengambil bahagian acara pertandingan nasyid Karnival Fitrah Murid Orang Asli (Kafoa).
Pegawai Pendidikan Lipis, Amin Nollah Lateh berkata, penganjuran program tersebut merupakan hasil komitmen yang bersungguh Pegawai Unit Pendidikan Islam PPD Lipis serta guru Guru
Pendidikan Islam bagi mengasah bakat sehingga keseluruhan peserta membuktikan kemahiran bernasyid dan penulisan khat.
“Boleh dikatakan penampilan semua peserta nasyid dan penulisan khat yang saya ikuti sehingga tamat amat membanggakan dan membuktikan kesungguhan guru Pendidikan Islam mengimplementasikan pembelajaran serta pembinaan insan yang berkesan di sekolah ,” katanya ketika berucap dalam majlis penutupan dan penyampaian hadiah festival tersebut di SK Padang Tengku, Lipis baru-baru ini. – UTUSAN