Festival Majestic Johor bermula, saji pelbagai acara menarik

Festival Majestic Johor bermula, saji pelbagai acara menarik

SHARIL Nizam Abdul Rahim (kiri) dan timbalannya, Mohd. Amin Kadiman menunjukkan baju T yang tertera logo Festival Majestic Johor 2024 yang berlangsung selama lima hari sehingga 1 September ini di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Festival yang sangat dinanti-nantikan, Festival Majestic Johor khususnya rakyat negeri ini membuka tirainya hari ini.

Edisi ketiga berlangsung di lokasi sama iaitu Puteri Harbour, di sini selama lima hari hingga 1 September ini.

Seperti dua edisi sebelum ini, Festival Majestic Johor 2024 turut menjanjikan pelbagai acara menarik. Malah penganjur, Tourism Johor menyasarkan 600,000 pengunjung pada edisi kali ini.

Walaupun tempoh penganjuran lebih singkat, iaitu lima hari berbanding lebih seminggu sebelum ini, Tourism Johor yakin sasaran itu mampu dicapai menampilkan pelbagai acara dan aktiviti yang lebih menarik.

Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, pihaknya telah mengadakan promosi di negara jiran seperti di Riau, Indonesia dan Singapura supaya dapat menarik kedatangan pelancong dari negara jiran tersebut.

“Tarikan utama festival yang memasuki edisi ketiga ini ialah pameran eksklusif kenderaan klasik diraja dan perarakan yang akan menampilkan kebudayaan, persembahan kesenian etnik budaya Johor serta pancaragam pada 1 September ini.

“Terdapat juga pertunjukan bunga api dan konsert sempena Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi menambah kemeriahan dan keseronokan, perarakan tersebut bakal tampil dengan penuh warna-warni daripada pelbagai kumpulan kebudayaan dan kesenian serta pancaragam.

Malah, katanya, pertunjukan Gendang Bangsa Johor yang menggabungkan persembahan kebudayaan semua kaum di negeri ini bakal menjadi tumpuan para pengunjung.

Bagi melancarkan aliran lalu-lintas sepanjang festival berlangsung, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menyediakan perkhidmatan bas percuma terus ke tapak festival dari tapak parkir yang disediakan seperti di sekitar bangunan kerajaan di Kota Iskandar.

Festival Majestic Johor pertama kali dianjurkan pada 2022 adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri menyemarakkan sektor pelancongan dalam menyumbang terhadap peningkatan taraf sosioekonomi tempatan menerusi impak aktiviti rantaian daripada sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan.

Festival berkenaan menerima penghormatan daripada industri pelancongan Malaysia apabila menerima ‘Gold Award Attractive State Tourism Event’ pada 2022. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN