KUALA LUMPUR: Pelakon, Fathia Latiff akui tidak kisah dengan kecaman warganet selepas mendedahkan dirinya membuat prosedur kecantikan pada bahagian wajah.
Kata Fathia atau nama sebenarnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 37, dia tidak menganggap perkara itu sesuatu yang tidak baik dan sudah menjadi kebiasaan di zaman sekarang.
“Saya tahu pendirian diri dan bagi saya, sesiapa yang tidak tahu pasal botox ini sedikit ketinggalan zaman.
“Sekarang, semua orang buat cuma tidak diceritakan sahaja. Yang penting, jangan berlebih-lebihan,” katanya.
Fathia ditemui pada sidang media drama Jangan Tinggal Abang, Dek baru-baru ini.
Selain itu, pelakon drama Ariana Rose itu turut berkongsi, berada di hadapan kamera menjadi juga menjadi faktor utama dia melakukan perkara itu.
“Sekarang ini saya banyak di depan kamera, jadi kena sentiasa nampak menarik.
“Saya sudah tak kisah apa orang nak cakap sekarang ini, dulu saya kisah tapi sekarang tidak.
“Cukup sekadar saya dan ibu bapa tahu apa yang saya buat,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, tanpa berselindung, pelakon itu mengaku membuat suntikan di muka untuk mencantikkan wajahnya selepas mendakwa kulitnya sudah tidak anjal akibat peningkatan usia.
Fathia turut berkongsi bahawa telah menjalani beberapa prosedur estetik seperti suntikan ‘filler’ dan botoks di bahagian pipi, bibir, hidung, dan mata.
Perkembangan terkini, anak kelahiran Pulau Pinang itu bakal muncul di dua drama milik Erma Fatima iaitu Jangan Tinggal Abang, Dek dan Cindarella Jadian.
Drama itu bakal ditayangkan di TikTok Karya TV pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.- UTUSAN