Empangan Nenggiri: Orang Asli di tiga kampung dipindah 2026

Empangan Nenggiri: Orang Asli di tiga kampung dipindah 2026

KERJA-kerja pembinaan Empangan Nenggiri yang menelan kos RM5 bilion sedang dilaksanakan di Kampung Star, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kerja-kerja pembinaan penempatan baharu untuk penduduk Orang Asli yang terkesan dengan pembinaan Empangan Nenggiri, di sini sedang giat dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat berkenaan.

Pengarah Urusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Power Ge­neration Sdn. Bhd, Ir. Muhamad Nazri Pazil berkata, projek yang dilengkapi dengan sekolah itu membabitkan dua plot pembinaan iaitu di Plot A dan Plot B.

Katanya, penempatan di Plot A membabitkan Pos Pulat dan Kampung Wias dengan keluasan 291 hektar melibatkan 84 keluarga sementara Plot B dengan keluasan 541 hektar membabitkan 161 keluarga.

“Pada masa ini, penduduk Orang Asli yang terlibat masih berada di kampung mereka.

“Kita jangkakan pertengahan 2026 lebih 1,200 penduduk Orang Asli di tiga buah penempatan yang terlibat dengan pembinaan Projek Hidroelektrik Nenggiri dipindahkan ke kawasan baharu,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat serta Lawatan Media ke Tapak Projek Hidroelektrik Nenggiri di sini, kelmarin.

Muhamad Nazri berkata, Projek Hidroelektrik Nenggiri menelan kos RM5 billion yang bakal menjana 300 megawatt (MW) sumber tenaga boleh diperbaharui telah mencapai tahap kemajuan pembinaan 40.5 peratus.

Katanya, projek yang akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer (km) persegi dan Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 km persegi itu dijangka beroperasi pada November 2027 selepas pembinaan dimulakan pada Mac 2022.

“Cabaran utama projek tersebut adalah pada fasa kerja tanah yang keadaan bentuk muka buminya berbukit-bukau.

“Kita mengesan ada tanah runtuh dan mengambil iktibar daripada kejadian tanah runtuh di Empangan Kenyir pada Februari tahun lepas. Jadi, kita perlu memberi lebih tumpuan terhadap aspek keselamatan,” ujarnya.

Katanya, projek itu membuka 2,000 peluang pekerjaan terma­suk kepada penduduk tempatan dan masyarakat Orang Asli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN